Vellfire Publish time 1-5-2024 09:54 PM

Sarawak jalankan kajian semakan gaji penjawat awam sebelum buat pengumuman rasmi

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240501/kch-ub010524-jw-premier-p1.jpg

Abang Johari bersalaman dengan pengunjung yang hadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri peringkat Daerah Simunjan 2024 di Simunjan, hari ini. Turut kelihatan Julaihi. - Gambar UKAS.
KUCHING: Sarawak akan menjalankan kajian semakan gaji penjawat awam negeri sebelum membuat pengumuman rasmi berhubung perkara itu, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya kajian berkenaan dijangka memakan masa selama sebulan setengah dan akan diumumkan secara rasmi sebaik sahaja sedia.
“Seperti yang pernah saya nyatakan baru-baru ini, kita menunggu pengumuman daripada Perdana Menteri (kenaikan gaji) dan pada hari ini beliau telah mengumumkan beberapa kenaikan juga elaun diberikan kepada perkhidmatan awam.
“Untuk Sarawak, kita akan kaji dengan terperinci dan saya sudah beri isyarat, mungkin kita boleh menambahbaik sedikit apa ditawarkan Kerajaan Persekutuan dimana mungkin kita ada satu pakej.
“Saya telah memberikan garis masa untuk kajian ini disiapkan dan insyaAllah, kita akan dapat memuktamadkan perkara ini dalam masa sebulan setengah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri peringkat Daerah Simunjan 2024 di Dewan Mesra Simunjan di Simunjan, hari ini.
Beliau berkata sebaik kajian itu selesai, pengumuman rasmi akan dibuat.
"Saya akan membuat pengumuman secara rasmi mengenai rancangan kami di peringkat negeri," katanya.
Pada hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini, tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.
Beliau berkata kenaikan itu melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.
“Kenaikan lebih tinggi daripada 13 peratus. Kenaikan terbaik dalam sejarah oleh Kerajaan MADANI,” katanya semasa berucap merasmikan sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat kebangsaan di sini hari ini.
Sementara itu berhubung isu lain, Abang Johari berkata kerajaan negeri telah meluluskan cadangan memperbesarkan lagi Dewan Mesra Simunjan yang sedia ada.
Katanya, pembesaran itu termasuk menyediakan kemudahan-kemudahan diperlukan penduduk setempat agar mereka dapat menganjurkan majlis atau acara dengan lebih selesa.
“Jangkaan (kos) belum lagi kita tahu berapa tetapi sudah tentu memakan belanja sedikit untuk kita perbesarkan. Apa penting keselesaan kepada penduduk ketika menggunakan dewan,” katanya.
Hadir sama majlis, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris.

https://www.utusanborneo.com.my/2024/05/01/sarawak-jalankan-kajian-semakan-gaji-penjawat-awam-sebelum-buat-pengumuman-rasmi-abang
Pages: [1]
View full version: Sarawak jalankan kajian semakan gaji penjawat awam sebelum buat pengumuman rasmi


ADVERTISEMENT