CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2579|Reply: 0

Isu pelarasan kadar pencen: PVATM hantar memorandum ke Istana Negara

[Copy link]
Post time 22-10-2023 05:13 PM | Show all posts |Read mode

Sharuddin Omar ketika bercakap kepada media hari ini. FOTO MOHD HARIS FADLI MOHD FADZIL

Kuala Lumpur: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) akan menghantar memorandum kepada Istana Negara bagi menuntut kerajaan melaksanakan segera pelarasan kadar pencen.

Langkah itu bagi mendesak pihak kerajaan memberi perhatian kepada isu itu yang sudah dibangkitkan persatuan sejak 10 tahun lalu.

Difahamkan, syarat perkhidmatan yang hanya membenarkan anggota berpangkat rendah berkhidmat tidak lebih 21 tahun menyebabkan terlalu ramai pesara di bawah PVATM tergolong sebagai individu B40 berikutan tempoh perkhidmatan yang kurang berbanding jabatan lain.

Syarat itu dilihat tidak adil jika dibandingkan dengan penjawat awam lain yang dibenarkan berkhidmat sehingga berusia 60 tahun yang sudah tentu dapat menikmati kadar pencen lebih tinggi berdasarkan gaji terakhir masing-masing.

Presiden PVATM, Datuk Sharuddin Omar berkata, keputusan menghantar memorandum itu dipersetujui sebulat suara oleh lebih 400 perwakilan pada Perhimpunan Agong Tahunan Agung ke-97 PVATM yang berlangsung dua hari sejak semalam.

"Satu isu yang mereka timbulkan ialah berkaitan tindakan kerajaan yang sehingga kini masih tidak memberi gambaran jelas mengenai tuntutan kita berkaitan pelarasan pencen veteran yang berpencen sebelum 2013 (pelarasan gaji baharu).

"Itu yang menjadi isu utama kerana pada pembentangan Belanjawan 2024 lalu, tiada disebut sebarang gambaran bahawa kerajaan akan membuat keputusan berkaitan pelarasan pencen ini," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Sharuddin berkata, susulan Belanjawan 2024 yang dilihat tidak memihak kepada veteran ATM, mereka sebulat suara memutuskan untuk menjadikan isu ini agenda utama mereka.

"Perkara ini sudah diperjuangkan oleh PVATM sejak 10 tahun lalu dan kita hanya menuntut pelarasan pencen untuk 78,546 pesara (atau 55.9 peratus) daripada jumlah keseluruhan veteran ATM.

"Ada yang pada masa ini berusia 80 tahun, 90 tahun, ramai yang berusia 50 tahun dan 60 tahun ke atas. Ramai yang tidak berupaya bekerja dan mengalami kesempitan hidup dalam keadaan ekonomi yang cukup tertekan dengan pencen yang kecil," katanya.

Katanya, setakat ini, seramai 73,339 orang (93.4 peratus) warga veteran ATM berada dalam kategori B40, yang mana mereka hanya menerima 50 peratus pencen daripada kadar gaji berbanding 60 peratus bagi penjawat awam lain (bukan ATM).

Beliau berkata, pencen paling rendah yang diterima anggota lain-lain pangkat (LLP) hanya kira-kira RM1,000.

Sehubungan itu, Sharuddin berkata, PVATM memutuskan akan menghantar memorandum ke Istana Negara dalam tempoh dua minggu ini

"Kita berharap isu ini diambil serius kerana veteran tentera adalah golongan yang wajar dihargai kerana khidmat dan pengorbanan mereka menjaga keselamatan dan kedaulatan negara," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... um-ke-istana-negara
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-5-2024 11:33 PM GMT+8 , Processed in 0.055797 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list