Untuk rekod, lebih 30 peratus daripada 33.4 juta rakyat Malaysia menetap di Lembah Klang. - Foto hiasan NSTP/Aizuddin Saad
Titah Yang di-Pertuan Agong agar perhatian dan peruntukan kemajuan dibahagikan secara saksama kepada semua negeri demi pembangunan seimbang wajar diberikan perhatian oleh perancang bandar, penggubal dasar serta institusi berkaitan.
Hakikatnya, maksud kemajuan bandar dan ketamadunan unggul dicita-citakan sejak sekian lama masih tidak tercapai, walaupun pembangunan fizikal pesat berlaku di Kuala Lumpur serta Lembah Klang.
Secara teori, isi rumah dan individu merasai peningkatan produktiviti kehidupan apabila lebih banyak peluang pekerjaan serta jenis perkhidmatan terzahir. Perniagaan dan perindustrian juga mendapat manfaat dari segi penjimatan kos apabila berkongsi infrastruktur sama dalam sesebuah kawasan.
Walaupun terdapat kesan negatif perbandaran seperti kesesakan jalan raya, pengurusan kebersihan dan pencemaran alam, aspek positif terutama peluang ekonomi boleh dianggap sebagai elemen produktiviti menjadi pertimbangan besar.
Pertimbangan pro dan kontra akan memandu individu membuat pilihan terbaik, iaitu memberikan nilai fungsi utiliti paling tinggi hingga mengambil keputusan menetap atau berhijrah ke bandar.
Namun, pertambahan populasi di bandar tidak semestinya sentiasa meningkatkan manfaat urbanisasi. Ini kerana sesebuah bandar mempunyai satu saiz optimum hingga pertambahan penduduk boleh menyebabkan sesebuah kawasan menjadi terlalu sesak, sekali gus mencetuskan lebih banyak mudarat.
Penumpuan populasi di sesebuah kawasan memberi gambaran wujudnya urbanisasi gergasi dominan di sesebuah negara. Urbanisasi gergasi sering dikritik sarjana sebagai urbanisasi tidak mampan yang sering melanda negara membangun seperti Bangkok, Jakarta, Dhaka dan Kaherah.
Untuk rekod, lebih 30 peratus daripada 33.4 juta rakyat Malaysia menetap di Lembah Klang. Pada masa sama, Lembah Klang juga menampung warga asing pelbagai status sosioekonomi hingga menimbulkan persoalan sama ada populasi besar mendatangkan lebih banyak manfaat atau sebaliknya.
Kita kerap mendengar rungutan sering menghantui penduduk bandar terutama di Lembah Klang, iaitu walaupun mendapat pendapatan tinggi berbanding di luar bandar, mereka perlu menanggung kos perumahan jauh lagi mahal dan kualiti kehidupan boleh dipersoalkan.