CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 8445|Reply: 0

[Sarawak] Letusan Gunung Ruang: Batal penerbangan langkah keselamatan, kata Abdul Karim

[Copy link]
Post time 18-4-2024 08:56 PM | Show all posts |Read mode


Abdul Karim ketika ditemui media semasa majlis tersebut. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Tindakan syarikat penerbangan membatalkan beberapa penerbangan yang dijadualkan hari ini ke/dari kawasan Borneo adalah sebagai langkah keselamatan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembatalan penerbangan itu susulan berlaku letusan gunung berapi Gunung Ruang di Indonesia, hari ini.

Menurutnya, ekoran kejadian itu, banyak penerbangan terjejas sama ada dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur, Kuala Lumpur ke Kuching dan Kuching ke Kuala Lumpur.

"Saya percaya ini hanya sementara (batal penerbangan) dan mereka perlu memastikan bahawa penerbangan itu berada dalam keadaan selamat.

"Sebenarnya, habuk dari mana-mana letusan gunung berapi pasti akan menjejaskan pesawat yang berada di udara.

"Demi keselamatan penumpang dalam penerbangan tersebut, saya rasa kita kena ambil langkah berjaga-jaga," ujarnya ketika mengulas mengenai kejadian letusan Gunung Ruang itu, pada hari ini.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan di Penview Convention Centre (PCC), Sejingkat di sini.

Hadir sama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan serta tetamu lain.

Terdahulu, beberapa penerbangan Malaysia Airlines dan AirAsia antara Sabah, Sarawak dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibatalkan hari ini berikutan letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia.

Malaysia Airlines dalam kenyataan di akaun media sosial rasmi X hari ini memaklumkan syarikat penerbangan itu akan membatalkan beberapa penerbangan yang terjejas dan menasihatkan penumpang untuk menyemak status penerbangan terkini dan saranan perjalanan masing-masing.

"Pembatalan penerbangan pada 18 April 2024 berikutan letusan gunung berapi Gunung Ruang.

"Berikutan letusan gunung berapi yang berlaku di Gunung Ruang, Indonesia, Malaysia Airlines akan membatalkan beberapa penerbangan ke/dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KUL) ke Sabah dan Sarawak," kata kenyataan itu.

Mengulas mengenai bantuan kepada penumpang terjejas, Abdul Karim memberitahu bahawa syarikat penerbangan perlu mengambil tanggungjawab yang sewajarnya atas perkara berkenaan.

"Kita lihat bahawa ia berkaitan bencana alam di mana itu merupakan perkara yang tidak dapat dielakkan.

"Oleh sebab itu, syarikat penerbangan akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap penumpang seperti memulangkan bayaran atau menunda penerbangan untuk mereka yang terjejas," jelasnya.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

2-5-2024 10:46 PM GMT+8 , Processed in 0.053581 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list