CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 323|Reply: 0

[Pulau Pinang] Persatuan nelayan harap penerokaan O&G tidak jejas kualiti air laut

[Copy link]
Post time 26-4-2024 08:00 PM | Show all posts |Read mode
Persatuan nelayan harap penerokaan O&G tidak jejas kualiti air laut


Oleh Nur Izzati Mohamad - April 26, 2024 @ 2:13pm bhnews@bh.com.my




Lokasi blok terbuka PM320 dan PM321 Lembangan Langkasuka - Gambar ihsan PETRONAS




GEORGETOWN: Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) berharap tiada aktiviti pemprosesan yang boleh mendatangkan pencemaran terhadap kualiti air laut susulan projek penerokaan minyak dan gas (O&G) baharu oleh PETRONAS di Lembangan Langkasuka di kawasan utara Selat Melaka.

Pengerusinya, Ibrahim Che Ros, berkata pihaknya telah dimaklumkan mengenai projek penerokaan berkenaan oleh Jabatan Perikanan negeri akhir tahun lalu yang ia terletak 30 batu nautika dari perairan Pulau Pinang iaitu berhampiran sempadan antarabangsa.

"Bagi saya, projek ini sama seperti diusahakan di perairan di Terengganu dan ia tidak menjejaskan kira-kira 5,000 nelayan pantai di negeri ini kerana sudah dekat dengan sempadan antarabangsa dan kebanyakan nelayan memang jarang ke sana.

"Nelayan di sini hanya mencari hasil laut antara 15 ke 20 batu nautika. Jika ada sekalipun, hanya dalam 10 peratus sahaja ke sana, itu pun mereka membawa pemancing kerana kawasan itu menjadi daya tarikan aktiviti memancing.

"Bagaimanapun, kita berharap apabila projek O&G itu dilaksanakan kelak, tiada aktiviti pemprosesan yang boleh menjejaskan kualiti air laut memandangkan pelantar minyak dibangunkan seterusnya mengancam kehidupan marin," katanya kepada BH hari ini.

Ibrahim berkata, semua pengerusi kawasan, ketua unit nelayan dan pengusaha bot dimaklumkan mengenai perancangan projek itu termasuk kajian mengenainya sudah siap dan diterangkan kepada pihaknya.

"Cuma sekarang kita tunggu tindakan seterusnya iaitu mengenai penyusunan laluan kapal serta pelan-pelan lain yang akan dikemukakan kelak yang dikatakan akan dikemaskini kepada kami dari semasa ke semasa.

"Hal ini penting, kerana nelayan nak pastikan bahawa kawasan pencarian hasil laut pada ketika ini tidak terjejas, di samping negara dapat menjana sumber pendapatan melalui kawasan O&G yang baharu," katanya.

Terdahulu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan melakukan pemantauan lanjut lanjut penerokaan O&G baharu PETRONAS di Lembangan Langkasuka di kawasan utara Selat Melaka.

Ia susulan kebimbangan dibangkitkan badan pemantau Rimbawatch mengenai kemungkinan implikasi dicetuskan projek penerokaan yang mana jaraknya hanya 30 kilometer (km) dari Pulau Pinang dan 20km dari Langkawi.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan, berkata beliau difahamkan projek itu ketika ini masih di peringkat eksplorasi dengan proses pemantauan dijalankan dari semasa ke semasa.

Rimbawatch dalam kenyataannya sebelum ini khuatir dengan penerokaan O&G itu bukan sahaja menjejaskan tanggungjawab mitigasi Malaysia, malah mengancam kepelbagaian kehidupan biologi marin pantai serta menjejaskan mata pencarian masyarakat nelayan serta pelancongan tempatan.

November lalu, Petronas mengumumkan bahawa ia akan menjalankan tinjauan seismik 2D di luar pesisir baharu di kawasan utara Selat Melaka untuk meneroka dan memetakan potensi hidrokarbon di blok terbuka PM320 dan PM321 Lembangan Langkasuka.

Tinjauan itu meliputi kawasan seluas lebih 38,000km persegi bertujuan untuk memperoleh kira-kira 8,000km data seismik 2D baru.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

7-5-2024 07:00 AM GMT+8 , Processed in 1.102340 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list