Tindakan pihak berkuasa agama Pahang didakwa melebihi bidang kuasanya dan melanggar asas hak kebebasan beragama apabila melarang bahan agama bukan Islam diletakkan dalam bilik hotel di negeri itu, kata pemimpin politik dan agama. Larangan yang dibuat oleh Majlis Ugama Islam Pahang (Muip) disifatkan sebagai larangan pertama seumpama itu yang melibatkan hotel, dikritik Muslim dan bukan Muslim. Larangan ini adalah yang terkini melibatkan isu agama di negara ini. Januari lalu, pihak berkuasa agama Selangor merampas lebih 300 buah Bible Bahasa Melayu dan Iban dari premis Pertubuhan Bible Malaysia, dengan mendakwa ia melanggar enakmen negeri.
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (gambar) berkata, walaupun Muip berasa tindakan itu termasuk dalam bidang kuasanya, pihak berkuasa agama patut memberi fokus kepada isu lebih serius termasuk mencegah rasuah dan judi melalui Internet yang berleluasa sehingga boleh memusnahkan keluarga hatta nyawa. Bagi beliau, keimanan orang Islam tidaklah sebegitu lemah sehingga ia boleh tergugat hanya kerana Bible Melayu atau buku agama bukan Islam di dalam bilik hotel. "Tetapi jika ada bukti Muslim dengan mudah boleh digugat akidahnya hanya dengan membaca Bible Melayu, Muip perlu dipersalahkan kerana gagal mendidik, memberi kesedaran dan kefahaman kepada orang Islam," katanya. Beliau meminta pihak berkuasa agama lebih seimbang dalam pendekatannya dengan memperkukuhkan pendidikan Islam termasuk memasukkan unsur-unsur nilai murni dan menghalang kejahatan. "Islam mengajar amar ma'ruf dan nahi munkar, iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah keburukan. "Jadi daripada mencegah apa yang mereka sifatkan keburukan, mereka juga perlu mengajak kepada kebaikan," katanya sambil meminta Muip menyeimbangkan keperluan ini. – 25 April, 2014.
|