Mohd. Nor Suhaili
Lebih mengecewakan, kenaikan cukai taksiran itu tidak disusuli dengan jaminan peningkatan kualiti perkhidmatan yang memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat menyebabkan penduduk mahu kenaikan itu ditangguhkan atau dibatalkan.
Pengerusi Pertubuhan Pemikir Muslim Pulau Pinang, Mohd. Nor Suhaili Jamali berkata, jika selama ini Kerajaan DAP Pulau Pinang melaungkan slogan negara berkebajikan, sudah pasti mereka mengambil perhatian terhadap kenaikan kos sara hidup rakyat ekoran peningkatan cukai taksiran tersebut.
Menurutnya, kenaikan cukai taksiran itu tidak sepatutnya berlaku semata-mata untuk menambah pendapatan negeri kerana rakyat bakal menjadi mangsa.
Advertisement
“Jika selama ini pakatan pembangkang menuduh kerajaan zalim kerana mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula tahun hadapan, mereka juga bertindak serupa apabila menaikkan cukai taksiran.
“Jadi, jika GST itu zalim, maka Kerajaan DAP Pulau Pinang juga berlaku zalim kepada rakyat. Mereka seolah-olah 'bercakap tak serupa bikin' dengan menindas rakyat bawahan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas rungutan penduduk di sekitar Seberang Perai yang menerima cukai taksiran baharu untuk tahun hadapan yang menyaksikan kenaikan sehingga 14 peratus.
Ekoran kenaikan itu, penduduk di daerah Seberang Perai perlu membayar bil cukai taksiran setengah tahun pertama bagi tahun 2015 sebanyak RM333.60 berbanding hanya RM291.90 bagi cukai taksiran setengah tahun sebelum ini.
Pandangan sama disuarakan Setiausaha Persatuan Muka Buku Pulau Pinang, Muhsin Abdul Latheef yang mendakwa kenaikan cukai taksiran itu membuktikan Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak prihatin terhadap rakyat.
Jelasnya, kenaikan cukai itu merupakan satu beban yang mendorong rakyat tidak membayar cukai kerana tidak berkemampuan.
“Kerajaan DAP Pulau Pinang harus bijak menangani masalah ini dan bukan dengan menaikkan harga cukai kerana tindakan itu seolah-olah menunjukkan kerajaan negeri sekarang sedang dalam kesempitan wang.
“Kami mendesak agar kadar cukai taksiran ini dikembalikan kepada kadar asal agar tidak membebankan rakyat,”ujarnya.