Cerita mengenai bintang Hollywood tertarik dengan agama Islam bukan baru, malah akhir-akhir ini makin kerap pula kita dengar. Sebelum ini kisah pelakon Harry Potter, Emma Watson kemudian aktor Liam Neeson. Cerita Emma senyap begitu saja. Cerita mengenai Neeson tertarik dengan Islam mula disiarkan di akhbar The Sun pada 2012 kemudian pada 2014 sekali lagi Daily Mail melaporkan perkara itu.
Neeson dikatakan tertarik dengan Islam apabila mendengar azan berkumandang di masjid setiap waktu solat lima kali sehari, ketika menjalani penggambaran filem Taken 2 di Istanbul, Turki. Pada minggu pertama mendengar panggilan sembahyang lima kali sehari itu, membuatkan dirinya mula tertarik kemudian meresap ke jiwanya dan ia dianggap detik yang cukup indah, sesuatu yang sangat indah.
Katanya, ada 4,000 masjid di Istanbul, ada yang cukup menakjubkan dan ia membuatkan dia berfikir untuk menjadi Muslim. Awal Januari lalu, ketika berada di Dubai untuk tayangan filem Taken 3, Neeson menjelaskan kepada Al Arabiya News bahawa dia tidak memeluk Islam. Bagaimanapun, Neeson, 63, tidak menafikan tertarik mendengar azan yang berkumandang setiap kali waktu solat ketika berada di Istanbul. Pada mulanya dia rasa terganggu kerana mengejutkan tidurnya tetapi kemudian dia sentiasa menunggu azan setiap hari.
Spekulasi mengenai Lindsay Lohan, 28, memeluk Islam pula timbul Mei lalu apabila bintang Mean Girls itu dilihat memegang al-Quran selepas selesai menjalankan khidmat sosial di Brooklyn, New York. - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/60680#sthash.7LrtPbEE.dpuf
|