KUALA LUMPUR 30 Jun - Bekas penyanyi kumpulan Exist, Mamat sekali lagi didenda RM1,500 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengambil dadah, Mac lalu. Mamat atau nama sebenarnya Mohd. Ali Kamaruddin yang pernah popular dengan lagu Untukmu Ibu didakwa telah menggunakan dadah jenis methamphetamine ke dalam badannya di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik,Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang di sini kira-kira pukul 11 malam, 26 Mac lalu. Pemenang tempat ketiga dan persembahan terbaik hasil undian penonton program realiti Gegar Vaganza baru-baru ini yang meraih wang kemenangan RM20,000 itu didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Fadlyzil Ikram Norzailan Shah. Sebelum ini, pada 1 April lalu, Mamat yang dituduh atas kesalahan yang sama dibawa ke Penjara Bentong untuk menjalani hukuman setelah gagal membayar denda RM4,500. - UTUSAN ONLINE
SEMOGA MAMAT DIBERI HIDAYAH DAN INSAF....
|