|
'Panas! Kami mandi 7 kali sehari'
NORJULIANA YAACOB
16 Mac 2016
CHUPING adalah kawasan yang digariskan sebagai paling panas di Malaysia.
Malah jika mengikut rekod, suhu tertinggi di Chuping pernah mencecah 40.1 pada 9 April 1998 ketika fenomena El Nino melanda negara ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia setakat jam 5 petang semalam merekodkan bacaan suhu 37 darjah Selsius di Chuping, iaitu kedua tertinggi selepas Alor Setar (38 darjah Selsius).
Bagi penduduk di sini, walaupun sudah biasa dengan cuaca panas terik, namun fenomena El Nino yang melanda tahun ini dirasakan lebih teruk berbanding biasa.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata penduduk tidak selesa dengan keadaan panas melampau yang melanda Chuping.
Menurut Hamdan Salleh, 52, suatu ketika dahulu, cuaca di Chuping sangat sejuk dan nyaman kerana terdapat banyak pokok dan bukit bukau yang menghijau.
“Saya anak jati Kampung Bukit Chuping Titi Besi ini dan berpeluang lihat perubahan kawasan ini dari zaman dulu sampailah sekarang,” katanya kepada Sinar Harian.
Hamdan berkata, Bukit Chuping pernah satu ketika menjadi kawasan yang sangat sejuk mata memandang kerana kehijauan pokok-pokoknya, namun akibat peredaran zaman suasana itu tidak dapat lagi dirasai.
“Sekarang semua pokok dah ditebang dan bukit digondol. Sejak beberapa tahun lepas, memang jelas nampak tompok-tompok botak di bukit ini.
“Ini adalah kesan daripada aktiviti tembak batu yang dijalankan untuk dijadikan pasir,” katanya.
Menurutnya, pada tahun 1972, cuaca di Bukit Chuping sangat sejuk sehingga minyak masak yang dimasukkan ke dalam botol di dapur boleh menjadi beku.
“Tapi sekarang hangatnya memang lain macam. Pernah satu ketika saya dah tak tahan sangat panas, terpaksa lari masuk dalam kereta dan buka pendingin hawa.
“Petang-petang memang tak boleh duduk dalam rumah langsung, kena keluar bagi kena angin,” katanya.
Sehari mandi tujuh kali
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bukit Chuping Kampung Pokok Sena, Md Noor Ismail berkata, dia dan ahli keluarga turut merasai keadaan panas yang sama.
“Kadang-kadang kami mandi sehari sampai tujuh kali sebab tak tahan sangat dengan badan berpeluh,” katanya.
Md Noor berkata, selain panas melampau, penduduk sekitar Bukit Chuping turut menghadapi masalah air kerana tekanan rendah disebabkan cuaca.
“Bayangkan sudahlah cuaca panas, air pulak tak ada. Memang sangat memeritkan,” katanya.
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Bukit Chuping Kampung Titi Besi, Hussin Ibrahim berkata, sebelum ini cuaca panas sudah menjadi kebiasaan, cuma tahun ini bahang panasnya sangat teruk.
“Bayangkan naik motor pun sampai tak boleh buka mata. Macam tulah teriknya,” katanya.
Suri rumah, Siti Aishah Ismail, 53, memberitahu, cuaca panas tahun ini turut mengganggu rutin hariannya sebagai suri rumah.
“Kalau dulu boleh sapu sampah di halaman, tapi sekarang cuaca panas sangat sampai nak keluar rumah pun takut.
“Saya terpaksa siapkan semua kerja rumah pada waktu pagi dan petang hanya berehat,” katanya.
Siti Aishah juga berkata, disebabkan cuaca terlalu panas, dia terpaksa membuka pili air seawal 15 minit sebelum menggunakan air.
“Kalau tak boleh melecur kulit. Air yang keluar sangat panas macam baru dijerang,” katanya.
Tambah Siti Aishah, pokok bunga yang ditanam di halaman rumahnya turut layu meskipun disiram setiap petang.
“Kesian tengok pokok-pokok bunga semua layu dan mati sebab cuaca terlalu panas,” katanya.
Rahmat buat penjual air minuman
Sementara itu, cuaca panas melampau ini turut memberi kesan kepada aktiviti kanak-kanak apabila mereka tidak dibenarkan keluar rumah oleh ibu bapa masing-masing.
Siti Nur Hidaini Md Noor, 10, berkata, dia dan rakan-rakan hanya dibenarkan untuk bermain di dalam rumah.
“Dulu masa tak panas, jam lima petang saya dan kawan-kawan siap sedia ke padang nak main bola. Sekarang ni nak keluar rumah pun tak mampu sebab panas terik,” katanya.
Bagaimanapun, cuaca kering ini seperti bagaikan suatu rahmat buat seorang peniaga air, Ayuha Mad Ali, 44, kerana gerai minumannya mula mendapat perhatian.
“Kalau dulu gerai saya hanya mampu habiskan dua kampit ais batu, tapi musim ini gerai saya mampu habiskan tujuh kampit ais batu setiap hari,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Perlis, Dr Zaini Husiin berkata, pemantauan penyakit berkaitan cuaca panas di fasiliti kesihatan di negeri ini tidak menunjukkan peningkatan kes yang signifikan.
“Bagaimana pun orang ramai perlu menjaga diri dan minum air kosong dengan banyak,” katanya ketika dihubungi.
Dr Zaini turut menyarankan agar penduduk sekitar Perlis mengamalkan minuman isotonik kerana ia boleh menggantikan garam dan mineral yang hilang semasa berpeluh.
“Kurangkan aktiviti luar rumah dan kerap berehat ketika cuaca panas adalah langkah yang terbaik bagi memastikan kesihatan diri sentiasa dalam berkeadaan baik.
“Orang ramai perlu mengelakkan diri dari mengambil minuman yang mengandungi kafein, alkohol atau kandungan gula yang tinggi kerana ia mendatangkan efek yang tidak baik untuk sistem badan,” jelasnya. -Sinar Harian
|
|