IPOH: Anak sulung bekas Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria, A Abdul Hakim Mazhar, 54, meninggal dunia awal pagi tadi akibat COVID-19.
Adik bongsu Allahyarham A Abdul Hakim, Datuk Ahmad Wafi, 44, ketika dihubungi sebentar tadi, berkata Allahyarham meninggal dunia jam 3.30 pagi.
Katanya, jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan yang sama dengan tempat bapa mereka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat, di sini.
"Allahyarham meninggalkan empat anak masing-masing dua lelaki dan dua perempuan berusia antara 19 hingga 28 tahun," katanya.
Akhir Mei lalu media melaporkan Harussani, 82, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) akibat COVID-19 yang ketika itu turut menjangkiti isterinya, Puan Seri Ainon Abdul Ghani.