CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1827|Reply: 0

[Pahang] 'Penghujung Pahang' berpotensi dibangunkan

[Copy link]
Post time 18-9-2023 04:32 PM | Show all posts |Read mode

SIMPANG Pelangai, sebuah pekan kecil di Bentong mendapat jolokan ‘penghujung Pahang’. FOTO Farizul Hafiz Awang

Kuantan: Simpang Pelangai, sebuah pekan kecil di Bentong mendapat jolokan 'penghujung Pahang' kerana kedudukannya yang bersempadan dengan Negeri Sembilan di barat Pahang.

Kawasan itu kurang popular khususnya kepada penduduk luar Pahang kecuali bagi mereka yang menjadikan Simpang Pelangai sebagai jalan alternatif dari negeri di Selatan tanah air ke Pantai Timur.

Anak jati Simpang Pelangai Ahmed Wafiuddin Shamsuri, 28, berkata, pekan itu menjadi nadi buat penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai kerana menempatkan pelbagai kemudahan termasuk klinik kesihatan, mesin juruwang automatik (ATM) dan pejabat pos.

Beliau yang sebelum ini menjadi calon Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berkata, penduduk di DUN Pelangai menetap di tiga tanah rancangan Felda, perkampungan Orang Asli, perkampungan Cina dan perkampungan tradisi Melayu selain estet.

"Majoritinya bekerja di ladang kelapa sawit atau getah, bekerja sendiri atau melakukan kerja kampung selain penjawat awam yang bertugas di situ," katanya kepada Bernama.

Bagi Siti Najwa Syafika Zaini, 33, yang menetap di Kampung Bukit Gajah di dalam DUN Pelangai, walaupun terpencil, kehidupan di Pelangai tenang dan aman dengan penduduknya saling kenal mengenali, bantu-membantu dan hidup bermasyarakat.

Meskipun kedudukannya jauh dari bandar, kawasan berkenaan berpotensi untuk membangun terutama jika pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) atau dahulunya dikenali Lebuhraya Central Spine Road (CSR), mengikuti pelan asal iaitu melalui Simpang Pelangai.

Projek itu juga menjadi antara yang 'diperjuangkan' bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

LTU yang menghubungkan Kuala Krai, Kelantan ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di Bentong kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026.

Pada Mei lalu, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dilaporkan berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam peringkat menyediakan reka bentuk jajaran laluan bagi projek LTU dari Karak ke Simpang Pelangai.

Menurut penduduk tempatan, Nor Ain Yazid, 57, yang dibesarkan di Kampung Chemomoi, pembinaan lebuh raya itu akan membolehkan penduduk mencipta atau menambah pendapatan menerusi perniagaan seperti jualan makanan dan produk tempatan selain mewujudkan ekopelancongan serta agropelancongan.

"Selain gerai minum dan makanan jika disediakan lokasi berniaga, penduduk boleh mengambil peluang menjual hasil kebun sendiri atau terlibat dalam industri pelancongan," katanya.

Anggota bomba sukarela di Telemong, Mark Lai, 46, berkata, selain meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat, pembinaan jalan baharu dapat memudahkan urusan penduduk khususnya untuk ke bandar terdekat bagi pelbagai urusan.

"Jalan utama sekarang yang melalui Jalan Karak-Kuala Pilah mengambil masa lama disebabkan berbengkang-bengkok, selain ada laluan tidak begitu cantik dan ada masanya berdepan risiko banjir kilat di jalan yang merentasi Sungai Telemong kalau hujan lebat," katanya.

Lai berkata, pembinaan lebuh raya itu juga diharapkan 'membawa masuk' lebih banyak kemudahan infrastrukur seperti stesen minyak dan pasar raya besar ke situ.

Ketika ini, penduduk perlu keluar bagi urusan seperti perbankan atau membeli barangan, sama ada ke Simpang Durian di Jelebu, Negeri Sembilan iaitu kira-kira 10 kilometer (km),

Triang di Bera yang terletak lebih 44 km, selain boleh memilih ke Karak (43 km) atau bandar Bentong (64 km).

Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai akan berlangsung pada 7 Oktober ini, ekoran kematian Johari, 53, yang merupakan seorang daripada 10 mangsa nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada petang 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut menetapkan hari penamaan calon pada 23 September ini, manakala 3 Oktober ditetapkan sebagai hari pengundian awal.

Pada PRU15, Johari yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat, Ahmed Wafiuddin dan calon Pejuang Isa Ahmad.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... potensi-dibangunkan

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

2-6-2024 02:20 PM GMT+8 , Processed in 0.074029 second(s), 25 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list