Abang Johari bersama Awang Tengah serta rombongan lain merakam kenangan ketika menghadiri majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara SMD Semiconductor Sdn Bhd dari Sarawak dengan Compound Semiconductor Applications Catapult (CSA Catapult) UK di bangunan Parlimen di London, pada Selasa.
KUCHING: Sarawak sedang mencari lebih banyak pembangunan bakat dalam mereka bentuk produk semikonduktor seperti silikon, geranium dan galium arsenide melalui peningkatkan kerjasama bersama pemain industri di United Kingdom.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pembangunan bakat dalam pelbagai faktor untuk rakyat amat penting bagi memastikan kedudukan Sarawak dalam platform global.
“Saya percaya pereka dari Sarawak setanding dengan pereka-pereka antarabangsa yang lain memandangkan kini terdapat syarikat yang sudah membeli produk semikonduktor keluaran wilayah ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai lawatan kerja ke Leeds dan London menerusi laporan yang dipetik dalam Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Selasa.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata, taman teknologi tinggi Samalaju adalah satu lokasi yang baik untuk syarikat luar datang dan menubuhkan syarikat mereka.
“Lokasi tersebut ujarnya mempunyai tenaga kerja terdiri daripada penduduk tempatan yang mana pembangunan bakat boleh dibangunkan,” katanya.
Mengenai teknologi biojisim, beliau berkata lawatan ke Loji Janakuasa Drax di Leeds, London adalah signifikan kerana ia mendedahkan kepada delegasi bagaimana palet kayu digunakan untuk menjana tenaga bersih di United Kingdom.
“Dalam hal ini, sebuah syarikat tempatan seperti Samling telah mengeksport pelet kayu ke negara asing bagi tujuan tersebut.
“Melihat kepada ini, maka kita mempunyai potensi untuk membangunkan teknologi menggunakan palet kayu untuk menjana tenaga dalam masa terdekat,” jelasnya..
Awang Tengah merupakan antara anggota delegasi yang mengiringi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari dalam lawatan rasmi selama seminggu ke Leeds, London dan Poland.
|