SIBU: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, festival atau perayaan yang ingin disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan Sarawak harus memiliki kriteria tertentu.
Beliau berkata, antaranya festival tersebut diadakan berkali-kali selama bertahun-tahun serta mempamerkan warisan etnik dan budaya masyarakat tempatan.
"Antara lainnya festival itu perlu benar-benar sudah popular dan sebagainya," katanya ketika ditanya sama ada kementeriannya bercadang memasukkan Karnival Kebudayaan Durin ke dalam Kalendar Pelancongan Sarawak 2025.
Baru-baru ini, Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar (MDLBS) Sibu Sempurai Petrus Ngelai menyuarakan harapan agar Karnival Kebudayaan Durin dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Sarawak 2025.
Sempurai berkata, ini bukan sahaja untuk mempromosikan karnival itu tetapi meningkatkan tarafnya dari segi prestasi dan kualiti penganjuran acara itu pada masa akan datang.
Karnival Kebudayaan Durin 2024 berlangsung di Durin dari 26 hingga 28 April ini.
Dianggarkan kira-kira 5,000 pengunjung akan hadir ke Bazar Durin dan Tebingan Durin sepanjang karnival tersebut.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dijangka merasmikan majlis pembukaan karnival itu pada 27 April ini, manakala Abdul Karim dijangka menyempurnakan majlis penutupan pada 28 April.
|