KUALA LUMPUR: Abu vulkanik letusan Gunung Ruang di Kepulauan Siau Tagulandang Biaro, Sulawesi Utara, memasuki di ruang udara Malaysia Timur pada Rabu.
Agensi berita AFP melaporkan Gunung Ruang meletus tiga kali pada Selasa, memuntahkan lava, memaksa 12,000 penduduk dipindahkan.
Pihak BMKG Indonesia pada pagi Rabu memaparkan peta menunjukkan abu gunung berapi menjangkau Malaysia Timur di Pulau Borneo.
Penyebaran abu gunung berapi diketahui menutup tujuh lapangan terbang, termasuk di Manado dan Gorontalo, menurut pengawal trafik udara AirNav Indonesia.
Gunung berapi tersebut dikatakan masih mengeluarkan abu dan asap di atas kawah pada pagi Rabu.
Laporan turut menyebut, Malaysia Airlines membatalkan 19 penerbangan khususnya ke Sarawak dan Sabah, termasuk menangguhkan pelepasan jemaah umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, ekoran pembatalan penerbangan membabitkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
|