CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2835|Reply: 0

[Sarawak] Pertimbang keputusan henti permohonan MM2H di Sabah dan Sarawak

[Copy link]
Post time 9-6-2024 05:49 PM | Show all posts |Read mode


KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Persekutuan (MOTAC) dimohon agar mempertimbangkan keputusan menghentikan operasi permohonanan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang bakal menjejaskan sektor pelancongan khususnya di Sabah dan Sarawak.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata perbincangan bersama kerajaan Persekutuan berkaitan isu berkenaan akan dilakukan memandangkan kedua-dua negeri itu mempunyai hak autonomi untuk menguruskan hal pelancongan.

“Kedua-dua negeri ini mempunyai syarat berlainan sedikit untuk MM2H. Contohnya di Sarawak, pemohon perlukan RM150,000 deposit tetap berbanding RM1 juta di Semenanjung, jadi sebab itu permintaan program di negeri ini melonjak naik.

“Kuasa autonomi ada pada kita dan kita mempunyai hak imigresen mengenai hal ini. Kita tidak mahu menimbulkan masalah tetapi kita berharap kerajaan Persekutuan menerusi MOTAC turut bertimbang rasa dengan dasar yang kami laksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat tapak Rainforest World Music Festival (RWMF) di Kampung Budaya Sarawak, hari ini.   

Difahamkan, MOTAC telah mengeluarkan pekeliling bertarikh 27 Mei 2024 kepada semua ejen berlesen yang mengendalikan permohonan MM2H, termasuk di Sabah dan Sarawak, untuk menghentikan operasi mereka.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata MOTAC sepatutnya berbincang terlebih dahulu dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebelum mengeluarkan pekeliling itu.

“Kalau MOTAC tidak mahu lanjutkan program itu sebab sedang fikirkan untuk wujudkan dasar sendiri, maka laksanakanlah dasar itu di Semenanjung sahaja, jangan kacau Sabah dan Sarawak,” katanya.

Mengenai persiapan RWMF 2024, beliau berkata kerabat diraja serta pemimpin dari luar Sarawak dijangka menjadi antara tetamu kehormat di acara berkenaan yang memasuki edisi ke-27 tahun ini.

“Ini menunjukkan pemilihan artis dan persembahan tahun ini cukup baik, sekali gus, menarik minat mereka untuk hadir,” katanya.

Bertemakan “Evolusi”, RWMF 2024 bakal berlangsung pada 28 hingga 30 Jun ini melibatkan 20 persembahan terdiri daripada 68 pemuzik antarabangsa dari 14 negara bersama 63 artis Malaysia.- BERNAMA


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-6-2024 09:00 PM GMT+8 , Processed in 0.056786 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list