CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2852|Reply: 0

[Sarawak] Bahagian Serian catat SSWI tertinggi pada 2023

[Copy link]
Post time 9-6-2024 05:50 PM | Show all posts |Read mode


Fatimah menyerahkan cek cura bernilai RM41,150 sebagai simbolik bantuan mesin hemodialisis kepada Timbalan Pengarah Hospital Serian Dr Carlos Jinung (tiga kiri) pada majlis tersebut. Turut kelihatan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus (dua kanan) serta yang lain. - Gambar Desiree David

KUCHING: Serian mencatatkan Indeks Kesejahteraan Sosial Sarawak (SSWI) tertinggi antara bahagian di negeri ini pada 2023.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, SSWI 2023 merupakan satu pangkalan data kesejahteraan rakyat Sarawak yang komprehensif berpandukan sepuluh tunjang Rangka Kerja Transformasi Sosial Negeri (SSTF).

“Berdasarkan kajian (SSWI 2023) yang telah dilaksanakan, secara keseluruhan Sarawak telah mencatatkan indeks 7.18 (sederhana), manakala Bahagian Serian mencatatkan indeks yang lebih tinggi iaitu, 7.48 (sederhana) (bahagian yang menunjukkan indeks tertinggi di Sarawak).

“Dapatan kajian menunjukkan tunjang yang menunjukkan indeks tertinggi adalah Keharmonian Sosial (7.84), manakala tunjang dengan indeks terendah adalah Kesihatan dan Perlindungan Sosial (6.85),” katanya pada Majlis Penyerahan Mesin Hemodialisis kepada Hospital Serian di Serian, hari ini.

Fatimah berkata, sepuluh tunjang di bawah SSWI adalah Institusi Keluarga, Pembangunan Kapasiti, Perumahan, Keharmonian Sosial, Keselamatan Awam, Tanggungjawab Sosial, Ruang Sosial dan Infrastruktrur, Tadbir Urus dan Amalan Baik, Kelestarian Alam Sekitar dan Kesihatan dan Perlindungan Sosial.

Bahagian Serian kata beliau, turut mencatatkan indeks pada tahap sederhana untuk kesemua tunjang berkenaan dengan pengiraannya adalah 0 hingga 4 sebagai rendah, 5 hingga 7 (sederhana) dan 8 hingga 10 (tinggi).

Mengenai inisiatif Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang (BKPBP), Fatimah berkata sejak 1 Januari 2020 sehingga 30 April 2024, seramai 198 pesakit telah dibantu dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM9,310,424.75.

“Selain itu pada tahun 2023, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak telah membeli sebanyak 24 mesin haemodialisi secara tender.

“Sebuah mesin bernilai RM41,150 dan keseluruhan perbelanjaan pembelian 24 mesin adalah sebanyak RM987,600,” katanya.

Berhubung penyerahan mesin hemodialisis di Hospital Serian, beliau berkata satu mesin diserahkan hari ini yang bernilai RM41,150 dan bantuan mesin hemodialisis itu dapat menambah bilangan mesin sedia ada berikutan pertambahan bilangan pesakit yang menjalani rawatan di Hospital Serian.

Katanya, bangunan Hospital Serian telah mula beroperasi pada 30 Oktober 2002 dengan lapan pesakit menjalani rawatan secara berperingkat di Unit Hemodialisis Hospital Serian.

“Setakat ini seramai 70 pesakit mendapatkan rawatan di Unit Hemodialisis Hospital Serian sejak penubuhannya. Majoriti pesakit adalah masyarakat di Daerah Serian.
“Bilangan mesin hemodialisis di Hospital Serian telah bertambah daripada tujuh mesin kepada 16 mesin sekarang,” katanya.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-6-2024 08:59 PM GMT+8 , Processed in 0.055585 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list