![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240613/myy-ub13062024-csm-kempenkesedarantibi-p1.jpeg)
Warga Miri dipelawa bersama menjayakan Kempen Kesedaran Penyakit TB pada Sabtu ini.
MIRI: Program imunisasi Human Papilloma Virus (HPV) kepada remaja perempuan dan wanita berumur 13 hingga 20 tahun adalah antara program yang diselitkan pada Kempen Kesedaran Penyakit Tuberkulosis atau tibi di Klinik Kesihatan (KK) Jalan Merbau pada Sabtu ini.
Anjuran bersama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), program tersebut menawarkan vaksin Gardasil 4 yang memberikan perlindungan terhadap empat jenis HPV.
Program terbabit akan bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari dan kemasukan adalah percuma.
Bagi kategori umur yang lain dan berminat mendapatkan suntikan HPV terbabit turut digalakan, bagaimanapun terdapat terma dan syarat yang dikenakan.
Selain program imunisasi berkenaan, turut diselitkan dengan saringan pap smear yang menawarkan 50 orang pertama untuk mendapatkan kit HPV secara percuma.
Antara aktiviti lain yang turut disediakan bersempena kempen tersebut adalah saringan kesihatan, pameran dan ceramah kesihatan, pertandingan mewarna dan senaman zumba.
Masyarakat setempat di sekitar bandar raya Miri adalah dipelawa bagi bersama menjayakan kempen bertemakan ‘Jom Cegah Tuberkulosis’.
Antara objektif utama kempen berkenaan diadakan juga untuk bersama masyarakat menghentikan endemik tibi di Malaysia menjelang 2025 ‘Yes! We can end TB’.
Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Sibuti Dato Lukanisman Awang Sauni dijangka hadir bagi merasmikan kempen terbabit pada jam 9 pagi.
|