Perdana Menteri Datuk Seri Najib memberi amaran kepada penjawat awam yang masa depan mereka mungkin menjadi gelap jika pembangkang mengambilalih pentadbiran negara.
Berucap di hadapan sejumlah 5,000 penjawat awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini, beliau menyifatkan hubungan antara kerajaan dan penjawat awam sebagai "aur dengan tebing".
"Pepatah juga menyebut, 'dicubit peha kanan, peha kiri pun terasa'. Ertinya apabila pembangkang memperlekeh, menohmah atau memfitnah penjawat awam, seumpama menghina secara langsung kerajaan secara keseluruhannya.
"Oleh sebab itu kita berasa amat tersinggung dan marah apabila pembangkang sesuka hati menuduh kononnya perkhidmatan awam ini sebagai 'bloated civil service', yakni terlebih bilangannya, berbanding negara lain.
"Dan jika mereka berkuasa, dengan angkuhnya mereka mahu mengurangkan separuh daripada jumlah penjawat awam," katanya.
Beliau berkata, tidak adil untuk membandingkan jumlah penjawat awam di Malaysia dengan negara lain, kerana perkhidmatan awam negara turut meliputi sektor perguruan, dan kesihatan dan keselamatan.
Selain itu, katanya lagi, ada juga pembangkang yang memberi tanggapan negatif terhadap penjawat awam dengan melabel mereka sebagai "makan gaji buta" dan "tidak cekap".
"Bayangkanlah apa akan terjadi kepada untung nasib sebahagian besar penjawat awam, jika pembangkang dibiarkan memerintah negara?
"Sanggupkah anda mempertaruhkan masa depan sekalian dan anak cucu keturunan kita kepada pihak sedemikian?" soalnya lagi.
https://www.malaysiakini.com/news/397076#wwtH21ZM8IVjkp71.99
|