CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1139|Reply: 0

[Selangor] Jual air bara arang boleh didenda RM10,000

[Copy link]
Post time 26-11-2023 05:15 PM | Show all posts |Read mode

Penambahan bara arang dalam minuman kopi kini merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan boleh dipenjara.

PETALING JAYA – Penambahan bara arang dalam minuman kopi merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan boleh didenda sehingga RM10,000, demikian menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM memaklumkan mana-mana pengusaha premis makanan yang didapati menghidangkan kopi bersama bara arang boleh dipenjara selama tidak melebihi dua tahun jika disabitkan kesalahan.

“Kopi yang sedia diminum dikawal di bawah Peraturan 269A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan peraturan tersebut hanya membenarkan penambahan gula, dekstrosa, glukosa atau madu, susu, krimer, makanan lain dan bahan perisa yang dibenarkan. Arang tidak dikategorikan sebagai makanan,” menurut KKM dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab sebuah laporan menyatakan trend meminum kopi dengan penambahan bara arang di sebuah kedai makan menjadi perdebatan di media sosial, sejak akhir-akhir ini.

Semuanya bermula daripada dakwaan bahawa kopi yang dihidangkan dengan tambahan arang, atau dipanggil “Kopi Joss” di Indonesia, mempunyai rasa yang unik dan dianggap sebagai kaedah untuk membersihkan badan daripada toksin.

Walaupun begitu, pakar kesihatan menyatakan kebimbangan mengenai tabiat meminum minuman sedemikian, menonjolkan potensi kesan negatif, termasuk risiko kanser akibat sifat karsinogenik dan kemungkinan tersumbat akibat penggunaan berlebihan dalam jangka panjang.

Menurut KKM, arang panas (bara arang) yang dimasukkan secara terus ke dalam minuman kopi adalah berbeza dengan arang diaktifkan, yang lazimnya digunakan dalam industri makanan kerana ia sudah diproses dan ditulenkan, sekali gus selamat untuk digunakan.

“Bagaimanapun, arang panas yang dimasukkan secara terus dalam kopi seperti yang ditularkan itu tidak dapat dipastikan, sama ada telah diproses dengan betul atau selamat untuk dimakan atau diminum begitu sahaja kerana kemungkinan terdapat unsur benda asing atau toksik lain.

“Justeru, sebagai langkah pemantauan, siasatan akan dijalankan setelah KKM mendapat maklumat lengkap premis makanan yang ditularkan,” jelas KKM. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2023/11 ... eh-didenda-rm10000/
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-6-2024 09:44 PM GMT+8 , Processed in 0.079390 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list