MIRI: Seorang lelaki didenda RM900 atau dua minggu penjara oleh Mahkamah Majistret hari ini setelah mengaku bersalah atas tuduhan membeli sekeping tiket loteri haram.
Elvis Tang Kelabo, 29, telah didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dihukum di bawah seksyen yang sama.
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah membeli sekeping tiket yang mengandungi lima catatan nombor ekor yang merupakan nombor loteri awam haram. Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5 petang, 23 April lalu di hadapan sebuah lot di Jalan Aru di sini.
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman di hadapan Majistret Randu Rangen, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
|