Dadah yang dirampas daripada suspek.
KUCHING: Seorang wanita warga asing berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika didapati bersalah memiliki dadah jenis syabu bernilai sekitar RM78,016.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata, suspek berusia 37 tahun ditangkap di sebuah hotel bajet di Jalan Rock di sini, pada Rabu. Menurutnya, pemeriksaan ke atas suspek telah menemui dadah jenis syabu seberat kira-kira 2438.30 gram.
"Suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Ketamin," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Polis sentiasa mengalu-alukan maklumat orang awam berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah," katanya.
|