|
Bazar Selebriti: Nadia tak kekok gulung popia
Oleh Norhayati Nordin
2010/08/26
Oleh Norhayati Nordin
2010/08/26
BAGI penggemar popia khususnya di Medan Selera, Setiawangsa, Kuala Lumpur, mereka pasti sudah kenal Popia Jati Nadia. Sepanjang bulan puasa ini seperti biasa, keluarga Nadia akan berniaga di dua bazar Ramadan di kawasan itu.
Biasanya, kira-kira 700 popia mampu dijual setiap hari bergantung kepada sambutan dan keadaan cuaca. Kalau cuaca kurang mengizinkan, jualan pun berkurangan. Sebagai artis, Nadia tidak pernah rasa malu malah berbangga dapat membantu ibunya, Jamaayah Sulung, 47.
Ketika ditemui Rap, kelmarin, Nadia kelihatan sibuk menolong ibunya membuat dan menjual popia jati di gerai mereka. Nadia sebenarnya sudah mula menjual popia sejak berusia 14 tahun. Jadi, tiada sebab untuk dia enggan turun padang walaupun sudah menjadi penyanyi. Bagaimanapun, Nadia kini hanya boleh membantu sekali-sekali kerana agak terikat dengan jadual pembelajaran.
“Saya sekarang dalam tahun pertama pengajian peringkat Diploma Penyiaran Dan Filem di Universiti Kuala Lumpur Metropolitan (KLMU), Jalan Raja Laut. Justeru, masa saya untuk membantu keluarga di gerai jualan agak kurang mengikut kelapangan.
“Apapun, dalam sebulan kita berpuasa ini saya takkan lepas tangan dan pasti datang terutama kalau pekerja kami ada urusan lain dan tak dapat membantu ibu. Oleh itu, sudah jadi tugas saya untuk bergandingan bersama ibu, “Setakat ini, kami ada empat pekerja. Dua orang akan membantu ayah (Hasnan Yusoff, 47) di bazar Setiawangsa. Manakala dua lagi, membantu di bazar di belakang Jaya Jusco Setiawangsa,” katanya.
Menyentuh mengenai harga popia buatan ibunya itu, Nadia berkata pada awal berniaga dulu, ia dijual 50 sen sekeping. Bagaimanapun, harga sekarang sudah meningkat RM1 sekeping. “Dengan harga RM1, isi kandungan ramuan dalam popia kami pun ditambah dengan hirisan telur rebus. Apapun, kami bersyukur kerana sambutan yang diterima sangat baik, lebih-lebih lagi sejak saya menyertai AF6, tiga tahun lalu.
“Tidak dinafikan, penyertaan saya dalam program realiti TV itu memberi impak besar hingga kini. Siapa sangka perniagaan popia diusahakan keluarga saya sejak 2004 lalu menerima tempias populariti AF. Bagi saya, ini semua rezeki Tuhan,” katanya.
Nadia berkata kerja menggulung popia, sudah biasa sangat baginya. Malah, sekarang dia sudah cekap dan boleh membuatnya banyak popia dalam tempoh yang singkat. Apapun, kepada orang ramai yang ingin merasai keenakan Popia Jati Nadia, singgahlah di gerai mereka mulai jam 5 petang setiap hari. Mengenai perkembangan seninya, Nadia masih aktif menyanyi dan menerima undangan pentas sehingga membuat persembahan di Eropah. |
|