Sumber : https://www.facebook.com/welovefs
Umum mengetahui, pelakon popular, Fasha Sandha kini sedang menghitung hari bahagianya untuk bergelar ratu hati kepada Toh Muda Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada majlis yang akan berlangsung pada penghujung April nanti. GUA berpeluang bertemu dengan penyandang Pelakon TV Wanita Popular ABPBH2010 di majlis pelancaran Wajah Baru Wanita Inspirasiku TV3, di Fullhouse Kota Damansara, petang Khamis. Kesempatan ini digunakan GUA untuk bertanyakan mengenai persiapan menjelang hari perkahwinannya nanti. “Persiapan dilakukan secara berperingkat. Setakat ini saya dah pergi kursus kahwin, dah tempah baju dan juga memilih perunding perkahwinan. Sebenarnya terlalu ramai pereka baju, hotel dan perunding perkahwinan yang nak taja perkahwinan kami, tapi kami tak terima. Bagi kami biarlah majlis ini datangnya dari titik peluh kami sendiri.” Tambah pemilik salun Chinta ini, “Saya sendiri dah beli empat busana pengantin dari butik Rizman Ruzaini. Perkahwinan kami nanti tak ada apa-apa tema, cuma majlis di Perlis nanti saya akan pakai busana tradisional. InsyaAllah, awal tahun ini kami akan mula edar kad kahwin,” ujar Fasha mengakui sudah bersedia untuk menjadi isteri. “Ini kali kedua Jejai melamar saya. Bila dilamar awal tahun ini, saya sendiri sudah bersedia untuk bergelar isteri. Mengenai impian perkahwinan pula, saya mengimpikan majlis yang sederhana tapi diingati selamanya. Kami rancang untuk membuat majlis perkahwinan secara sederhana sebab bagi kami itu lebih indah. Lagipun pembaziran juga tidak digalakkan dalam Islam.” Menurut Fasha lagi, “Pada pendapat saya, perkahwinan adalah satu ikatan suami isteri yang dikongsi bersama keluarga dan teman-teman. Saya menghormati permintaan bakal suami saya yang inginkan majlis yang sederhana. Saya juga tak perlu gelaran ‘Wedding of the Year’ kerana sepanjang jadi artis, saya tak pernah idamkan gelaran itu.” |