Tanah pusaka adat boleh dijual
Oleh HUSAINI AMRAN
utusanN9@utusan.com.my
SEREMBAN 9 Julai - Tanah pusaka yang dimiliki melalui sistem pewarisan harta adat perpatih boleh dijual atau digadai jika memenuhi syarat. Lembaga Luak Ulu Muar, Datuk Seri Maharaja Khalid Bonget (gambar) berkata, mereka boleh berbuat demikian jika mengalami kesempitan wang untuk membaik pulih rumah pusaka yang rosak, membiayai kos pengurusan jenazah ahli keluarga serta menampung perbelanjaan majlis perkahwinan anak perempuan. Beliau berkata, penjualan tanah adat hanya boleh dilakukan semasa giliran 'perut' pemiliknya menyandang pesaka Lembaga, Penghulu atau Undang luak. "Bagaimanapun tanah adat berkenaan tidak boleh dijual kepada pembeli dari suku yang lain atau tidak sewaris. Urusan jual beli itu perlu mendapat kelulusan lembaga terlebih dahulu," katanya. Khalid berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk 'Adat Nan Diuca Pakai' pada program Syarahan Negeri Sembilan 2009 di Klana Resort dekat sini hari ini. Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menghadiri program berkenaan dengan diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud. Program tersebut dianjurkan oleh Lembaga Muzium Negeri Sembilan menjelang sambutan Pesta Adat Perpatih 2009 pada 11 dan 12 Julai ini. Ia dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail. Sementara itu, Khalid memberitahu, tanggapan kurang tepat berhubung perbilangan 'biar mati anak, jangan mati adat' hendaklah diperbetulkan. Menurutnya, terdapat segelintir pihak mendakwa perbilangan tersebut menggambarkan unsur kezaliman dan penganiayaan dalam adat perpatih. ''Sebaliknya, perbilangan itu membawa maksud sistem perundangan dalam adat perpatih perlu dilaksanakan tanpa mengira pangkat dan darjat individu yang melakukan kesalahan," kata Khalid. Malah, jelas beliau, pihak yang diberi kuasa menjatuhkan hukuman sewajarnya menjalankan tugas dengan adil walaupun pesalah adalah anaknya sendiri.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0710&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_02.htm#ixzz4a2SoDqKz
© Utusan Melayu (M) Bhd
|