Edited by EJALTI at 12-10-2017 11:03 AM
Sanggup terjun tingkat dua
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/10/272489/sanggup-terjun-tingkat-dua
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 6:29 PM
Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my
Penguat Kuasa JIM Pulau Pinang memeriksa wanita warga asing yang terjun pangsapuri dalam operasi malam tadi. FOTO Ihsa Jabatan Imigresen.
WANITA warga Indonesia terjun dari tingkat dua pangsapuri untuk meloloskan diri daripada dicekup penguat kuasa Jabatan Imigresen (JIM) Pulau Pinang ketika operasi di Taman Pekaka, Gelugor di Georgetown, malam tadi.
Operasi 9 malam itu membabitkan sepasukan penguat kuasa JIM Pulau Pinang yang melakukan pemeriksaan di pangsapuri berkenaan yang dikenal pasti didiami beberapa pekerja warga asing.
Ketua Bahagian Penguatkuasa JIM negeri, Khwaja Banthey Navaz Mohamed Haneef berkata, tindakan nekad wanita berusia 22 tahun itu disedari penguat kuasa JIM negeri yang berkawal di bawah pangsapuri berkenaan.
Beliau berkata, siasatan mendapati wanita itu pernah bekerja sebagai pembantu rumah dan melarikan diri daripada majikannya dan dia terjun berikutan bimbang diperiksa selepas didapati tinggal bersama teman lelakinya yang baru dikenali sejak beberapa bulan lalu.
Katanya, wanita itu turut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah.
Secara keseluruhan, 48 warga asing berusia antara 20 hingga 50 tahun ditahan dalam operasi berkenaan, katanya.
"Operasi Ops Ikrar ini membabitkan lapan kawasan di sekitar kawasan Sungai Dua, Bayan Lepas dan Batu Maung dengan menfokuskan kawasan perumahan, kedai runcit dan pondok pengawal yang menjadi tumpuan warga asing.
"Semua yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat JIM negeri di Seberang Jaya untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Warga Asing di Juru untuk tindakan dan siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Kami akan meneruskan pemantauan dan pemeriksaan lebih kerap di seluruh negeri terutama lokasi sering menjadi tumpuan warga asing termasuk pusat hiburan, kafe, restoran, pub dan lain-lain," katanya.
|