MASJID Nabawi yang terletak di Madinah merupakan masjid kedua paling suci bagi seluruh umat Islam selepas Masjidilharam di Makkah.
Di sini juga ditempatkan makam Rasulullah SAW. Pada asalnya, baginda membina sendiri masjid tersebut bersebelahan dengan rumah baginda selepas peristiwa Hijrah pada tahun 622 Masihi.
Sejak itu, Masjid Nabawi melalui pelbagai penambahbaikan. Berikut adalah lima perkara menarik tentang Masjid Nabawi.
1. Masjid semasa adalah lebih besar daripada masjid asal
Struktur masjid sekarang adalah 100 kali lebih besar berbanding bangunan lama. Ia merangkumi seluruh kawasan Madinah lama ketika zaman Rasulullah SAW.
2. Masjid pertama mendapat bekalan elektrik di Semenanjung Arab pada tahun 1909
Dikatakan bahawa Maharaja Uthmaniyah yang memerintah Madinah pada ketika itu tidak memasang elektrik di istananya sebelum bekalan elektrik dipasang di Masjid Nabawi.
3. Penuh dengan makna istimewa
Setiap tiang, kubah dan tingkap mempunyai kisah tentang sejarah dan lokasi penting di masjid ini.
4. Juga merupakan pusat pembelajaran
Nabi Muhammad SAW tidak hanya menggunakan Masjid Nabawi untuk solat tetapi juga bagi menyebarkan pencerahan dan pendidikan. Setiap ilmu tentang Islam yang diperoleh akan diajarkan kepada orang lain.
5. Tiang bersejarah
Salah satu tiang bersejarah di Masjid Nabawi yang mempunyai makna istimewa adalah Ustuwaanah Hannanah. Ia adalah tiang paling diberkati dan merupakan tempat solat Rasulullah. Di tempat ini pernah terdapat pohon tamar yang baginda sering gunakan untuk bersandar ketika menyampaikan khutbah.