Neelofa bersama arwah datuknya yang lebih mesra dipanggil abah.
BUKAN mudah untuk kita melalui momen-momen yang cukup pedih untuk diterima. Apatah lagi, menerima kenyataan insan yang cukup dekat dan sayang di hati pergi meninggalkan kita buat selamanya.
Kehilangan datuk tercinta, Noor Mohamed 21 November lalu cukup memberi impak besar kepada pelakon dan pengacara popular, Neelofa yang meluahkan rasa kesal kerana tidak meluangkan lebih masa dengan keluarga.
Kesibukan sebagai seorang usahawan dan anak seni menuntut komitmen yang tinggi sehingga dia terkilan kerana terpaksa mengutamakan kerja daripada menziarahi datuknya yang lebih mesra dipanggil abah ketika sedang sakit.
“Saya menangis sampai hidung tersumbat. Bukan mudah untuk kami sekeluarga terima, tetapi sudah ketentuan-Nya. Kehilangan abah mengubah daya menjadi seorang manusia yang melihat keluarga adalah segala-galanya.
“Tuhan buka mata saya untuk lebih luangkan masa bersama keluarga. Saya belajar untuk lebih menghargai apa yang saya miliki sekarang. Tak mahu kelak, saya akan menyesal,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama media hari ini.
Neelofa ketika di majlis pengebumian datuknya di Kelantan
Berkongsi cerita, Neelofa berkata, kehilangan datuknya merupakan sesuatu yang mengejutkan kerana Allahyarham merupakan seorang lelaki yang cukup cergas dan sihat walaupun mempunyai masalah diabetes.
Namun, setelah mengalami jangkitan kerena luka di bahagian kaki, kesihatannya semakin merosot dan terpaksa dimasukkan ke hospital sebelum meninggal dunia di usia 83 tahun.
“Abah seorang yang cukup cergas dan dia buat kerjanya sendiri. Memandu dan menguruskan kerja di pejabat setiap hari. Seminggu sebelum dia meninggal, dia mahu pulang ke rumah.
“Saya sempat menjaga abah semasa dia sedang menanggung sakit. Kami sekeluarga bergilir-gilir mengikut jadual untuk jaga dia,” katanya yang masih ingat pesanan abahnya untuk dia sentiasa amanah dan elakkan riba dalam berniaga.