BINTULU: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, memberi jaminan Sarawak tidak akan dipinggirkan walaupun wujud perbezaan ideologi politik yang ketara.
Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata, Sarawak adalah sebuah daripada negeri dalam Malaysia, yang wajar mendapat kemajuan setaraf negeri lain.
Beliau memberi jaminan walaupun berbeza ideologi politik, projek pembangunan akan tetap disalurkan kepada negeri Sarawak.
“Sudah tentu kami lebih suka dengan sebuah kerajaan yang mesra, dari parti yang sama dengan Kerajaan Persekutuan (Pakatan Harapan).
“Tetapi sama ada ia kerajaan yang berbeza atau sama, projek Persekutuan di Sarawak akan diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat tertutup kemajuan projek Persekutuan di Sarawak, di sini, hari ini.
Mengenai tawaran RM1 bilion oleh kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan bagi membina semula sekolah yang uzur di negeri ini, beliau berkata ia adalah satu pinjaman.
“Saya rasa mereka (kerajaan negeri Sarawak) mahu pinjamkannya kepada kita. Tetapi kerajaan negeri juga berhutang wang dengan kita.
“Kita lebih setuju sekiranya mereka bayar sahaja wang yang mereka hutang dengan kita. Mereka mempunyai banyak wang dan belanjawan Sarawak adalah yang terbesar di Malaysia, RM11 bilion (tahun hadapan),” katanya.
Dr Mahathir juga berharap kerajaan negeri Sarawak tidak begitu mendesak berhubung tuntutan royalti minyak.
Sarawak menuntut agar royalti minyak sebanyak lima peratus daripada Kerajaan Persekutuan dinaikkan kepada 20 peratus sebagai sebahagian daripada hak istimewa negeri seperti termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Mengenai pembinaan semula kerja menaiktaraf 116 sekolah yang uzur di seluruh negeri ini membabitkan peruntukan RM443.5 juta tahun ini, beliau berkata, ia mengambil masa agak panjang untuk mendapatkan bahan pembinaan.
Ketika ini, 77 buah sekolah seumpama itu siap dan 39 lagi dalam pelbagai fasa pelaksanaan yang menggunakan sistem pembinaan perindustrian (IBS).
“Saya berharap agar isu sekolah daif ditangani oleh kerajaan negeri, lihat sahaja belanjawan RM11 bilion yang diumumkan baru baru ini, ianya wajar digunakan dengan baik.
“Kerajaan negeri Sarawak punya duit yang cukup banyak. Jadi, atasi masalah sekolah daif dengan menggunakan bajet sedia ada,” katanya.
Terdahulu, ketika sesi taklimat oleh Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Mansor Man, Perdana Menteri juga dimaklumkan bahawa 597 projek fizikal bernilai RM14 bilion diperuntukkan kepada Sarawak di bawah Rancangan Malaysia ke-11.
Dr Mahathir, yang tiba di bandar minyak dan gas ini petang semalam untuk melancarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak, kemudian berlepas ke ibu negara dari Lapangan Terbang Bintulu.
Beliau ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.