CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6479|Reply: 3

Mencari “Abang Janggut” Temerloh

[Copy link]
Post time 10-1-2019 01:16 AM | Show all posts |Read mode
Siapa kata wanita tak pandai memancing

Mencari “Abang Janggut” Temerloh


Macrobrachium rosenbergii Temerloh

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 10-1-2019 01:16 AM | Show all posts
Sebelum saya mengenali dan membimbing Hazlina memancing untuk Siri The Making Of Iconic Lady Angler, beliau sememangnya sudah gilakan pancingan udang galah. Merata tempat diredah beliau lebih-lebih lagi di sekitar Sungai Pahang. Tak kiralah memancing dari atas sangkar ataupun menggunakan bot. Itu antara cabang pancingan yang sangat beliau gemari selain dari casting dan jigging.  


Antara Jenggo yang diperolehi oleh Cik Einn dan boatman walaupun semasa kunjungan air Sungai Pahang ini agak keruh disebabkan hujan pada bahagian hulu pada malam sebelumnya.

Tarikan Udang Galah @ Macrobrachium rosenbergii yang menghuni dasar sungai ini sememangnya amat digemari oleh Lady Angler ini. Seni pancingan udang galah yang lemah gemalai, relaks dan bersahaja sesuai untuk melepaskan kebosanan kata beliau. Oleh itu beliau kerap kali turun memancing spesies perangkak dasaran ini bersama-sama rakan memancing wanitanya yang lain.


Bagi sahaja berapa banyak joran pun beliau tidak kisah untuk menjaganya. Memang suka betul dia ni memancing udang!

Saya juga pernah sekali memancing udang galah di Sungai Kuantan, Kuala Selangor bersama pemancing wanita leganda di sana iaitu Kak Limah. Udangnya boleh tahan dan kalau kena hari yang sesuai memang banyak hasil boleh diperolehi. Rupa-rupanya Hazlina juga telah membaca artikel tersebut dan ia merupakan wish list beliau untuk memancing bersama boatman wanita ini.


Beliau juga tidak geli untuk memegang Perumpun yang merupakan umpan killer bagi udang Sungai Pahang. Namun begitu umpan di sini agak kecil berbanding Perumpun di Klang ataupun Sepang. Mungkin lain kali kami boleh membelinya di sini terlebih dahulu!

Beliau memberitahu saya untuk memancing di Kuala Selangor ini dan saya juga telah berusaha beberapa kali untuk mendapatkan Kak Limah membawa kami ke port-port terbaik beliau. Sudah 4 atau 5 kali saya menghubunggi Kak Limah namun begitu setiap kali saya menelefon beliau, ianya asyik gagal disebabkan keadaan air yang tidak sesuai ataupun dia sendiri sibuk dengan urusan peribadi.


Inilah saat yang ditunggu bila Jenggo meragut umpan dan joran halus yang digunakan membengkok bila ia membuat larian ke belakang.

CARI PORT SENDIRI
Mungkin juga disebabkan bosan menunggu bila masanya boleh turun bersama arrangement saya maka Hazlina sendiri mencari port untuk memancing udang. Beberapa minggu yang lalu beliau baru sahaja pulang dari Rumah Rakit Rompin dan menunjukkan kepada saya hasil pancingan udang galahnya. Beria-ia benar beliau bercerita dan dari percakapannya saya tahu “banyak keseronokan” bila memancing spesimen ini.


Jenggo sebegini sentiasa dicari oleh oleh Lady Angler dan ia merupakan “kegilaan” gadis ini untuk memancingnya walau di mana sahaja lokasi pancingan.

Oleh itu saya meminta beliau menempah rumah rakit tersebut tetapi sayangnya tempahan telah penuh. Jadi terpaksalah kami melupakan seketika rumah rakit di Sungai Rompin yang berair payau tersebut buat seketika sementara menunggu ada tarikh yang kosong. Namun begitu dalam diam-diam beliau telah menjumpai port baru di Temerloh. Tidak sangka pula ada Jenggo yang menghuninya dan hasil tangkapan beliau telah di muat naik ke Facebook.

Saya merasakan ia adalah artikel yang sangat bagus untuk pemancing wanita lantaran itu sekali lagi meminta beliau untuk membuat tempahan bot memancing. Walaupun sebenarnya saya kurang berminat dengan pancingan sebegini. Mungkin juga disebabkan saya jarang memancing udang jadi skill dan ilmu saya amat kurang lantaran itu belum dapat feeling keseronokan pancingan ini, Paling membosankan adalah duduk sepanjang masa dqn menunggu untuk ragutan kecil. Ia ternyata begitu berbeza berbanding dengan aplikasi casting atau jigging dari atas bot yang luas di mana saya boleh bangun dan berdiri.


Memancing udang adalah kebiasaan bagi Hazlina dan dia tidak kekok untuk membuat segala persiapan.

Namun begitu disebabkan tuntutan kerja untuk mencari bahan berita terpaksalah juga turut serta untuk memancingnya. Sementelahan pula untuk siri The Making of Iconic Lady Angler ini lah kali pertama memaparkan pancingan udang. Ianya berbeza dengan artikel-artikel sebelum ini yang hanya menunjukkan Hazlina casting dan jigging sahaja.

UDANG SUNGAI PAHANG

Port kali ini terletak di Temerloh. Sungai yang mengaliri pekan Bandar Ikan Patin ini adalah Sungai Pahang yang merupakan sungai terpanjang di Semenanjung. Disebabkan ianya sungai utama yang panjang dan besar maka kondisi airnya sukar dijangka. Ia bersambung dengan anak-anak sungainya yang lain. Oleh itu jika berlaku hujan lebat di bahgaian atas maka ianya boleh menyebabkan Sungai Pahang ini akan keruh.


Kalau tak dapat Jenggo dapat saiz macam ini pun dah kira OK. Sebenarnya saiz sebegini yang sedap dimakan berbanding Jenggo yang besar tetapi keras isinya.

Itulah yang terjadi semasa kunjungan kami tempohari. Pada kunjungan pertama Hazlina keaddan air sungai ini amat elok, oleh itu hasil yang diperolehi amat memuaskan hati. Namun kali ini ketika saya dan beliau tiba, boatman mengatakan keadaan air sungai agak keruh. Kami bertawakal sahaja lagipun boatman yang dikenali sebagai Joe ini merupakan otai pancingan Udang Galah Sungai di sini. Kepakarannya memang tiada tandingan dalam mencari lubuk-lubuk terbaik.

Sesi pancingan sepatutnya bermula seawal pagi tetapi disebabkan kami baru tiba dari KL, kami bersarapan terlebih dahulu di sebuah warung kecil. Ianya sesuatu yang paling saya suka bila outstation iaitu makan di warung-warung kampung yang amat damai dan hening di awal pagi dengan hidangan tempatan.


Antara hasil pada trip terdahulu semasa kunjungan pertama Cik Einn ke Temerloh ini.

Selepas itu kami menuju ke Kg. Pangsenam, di sinilah bot milik Joe diparkir. Selesai memunggah barangan ke dalam bot kami menuju ke lokasi pertama. Ianya terletak berdekatan sahaja dengan rumah rakit tempat kami menaiki bot. Air sungai kelihatan agak keruh dan sampah-sampah juga hanyut di permukaan. Ia petunjuk hujan berkemungkinan lebat di kawasan hulu sungai.

Kawasan tebing-tebing sungai ini agak lapang, tidak banyak pokok-pokok besar yang merimbun di kawasan tebing. Kalau ada pun terletak jauh di atas darat. Suasananya agak berbeza dengan lokasi pancingan udang yang pernah saya kunjungi sebelum ini. Oleh itu saya perhatikan Joe lebih suka bersauh di kawasan yang agak jauh dari tebing sungai. Kemungkinan juga kawasan berdekatan tebing sangat cetek, oleh itu bot terpaksa bersauh agak jauh dari tebing.


Paling menarik pancingan udang galah adalah menjadikannya hidangan. Kalau di Temerloh harga pasaran mengikut saiz dari RM 80 – 130 per kg.

Jika pancingan di tempat lain yang mempunyai pokok berembang atau nipah, bot akan bersauh serapat mungkin atau juga di bawah pokok. Berkemungkinan juga tempat-tempat sebegini airnya lebih dalam. Tapi itulah “lain padang lain belalang”. Lain tempat lain caranya, disebabkan itulah local knowledge amat penting sekali dalam pancingan yang berbeza cara teknikalnya ini.

PEMANCING SEJATI

Hazlina membawa 2 set joran manakala saya pula membawa 6 set joran bermakna ada 8 set pancing joran udang di atas bot. Saya pula sejak kebelakangan ini semakin menjadi-jadi rabunnya. Jadi untuk setting peralatan sebegini menjadi kesukaran bagi saya. Jika memakai reading glasses pula ianya akan terlalu silau dan menyakitkan mata saya. Apatah lagi nak masukkan tali mono sehalus 6 lb ke dalam lubang guide memang langsung saya tidak nampak.

Terkial-kial saya dibuatnya dan terpaksa mengalah. Akhirnya saya terpaksa meminta pertolongan Hazlina untuk membuat semua kerja. Nasib baik saya bertemankan gadis memancing yang betul-betul kaki pancing. Saya perhatikan beliau tanpa kekok memasang tali, memasukkan batu ladung, mengikat mata kail dan juga menyematkan umpan perumpun pada mata kail yang halus itu. Biasanya bila keluar memancing bersama, saya yang akan membuat semua kerja untuk beliau tetapi disebabkan kali ini saya dalam keadaan OKU, Hazlina pula yang kena buatkan untuk saya. Oleh itu bila umpan dah habis, saya karau kekili dan serahkan pada beliau dan kata “Awak, tolong pasang umpan”.


Joe, boatman yang mahir mengesan lubuk Jenggo Sungai Pahang ini.

Disebabkan kondisi air yang “kurang cantik” Joe akan cepat berpindah lokasi bila tiada sambutan. Beliau yang berpengalaman mempunyai port-port terbaik yang selalunya menghasilkan Jenggo. Beberapa kali berpindah akhirnya spesimen yang dicari berjaya ditemui. Saya yang tidak berpengalaman memancing udang ini pun seronok bila melihat joran halus melendut-lendut ditekan spesimen bersepit biru.

Untuk trip kali ini, jika dicampur semua hasil pancingan kami bertiga lebih kurang 18 ekor Udang Galah bersaiz kecil dan besar berjaya diperolehi. Mengikut Joe, ianya sudah dikira amat bagus untuk kondisi air sebegini. Biasanya kalau air keruh dan bersampah hasilnya amat sukar, kemungkinan juga tuah Cik Einn yang selalunya ikhlas bila keluar “bekerja” bersama saya.

Setakat ini dahulu cerita pancingan “Abang Janggut” Temerloh kerana kami akan berkunjung lagi bila air sungainya lebih elok. Saya juga akan mengupas lebih terperinci teknikal pancingan Udang Galah di sini dalam artikel akan datang bersama Iconic Lady Angler ini dan juga rumah rakit yang mempunyai air-cond dan wi-fi juga akan siap ketika kunjungan kami yang akan datang. Semasa itu bolehlah saya buat perbandingan sesi pancingan dari atas bot dan juga dari rumah rakit. Ianya tentulah artikel yang lebih menarik dan berinfomasi untuk anda semua pembaca kesayangan saya!

Oleh : Adlizam Yasin
Reply

Use magic Report

Post time 10-1-2019 11:28 AM | Show all posts

syoknya dapat sepit biru
Reply

Use magic Report

Post time 11-2-2019 02:07 PM | Show all posts
Woww..kena try gak klu camni
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 01:48 AM GMT+8 , Processed in 0.050133 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list