|
Jia Zong gesa Kementerian Pendidikan siasat penyelewengan dana di SJKC
PUTRAJAYA: Persatuan Jaringan Ibubapa Pencinta Pendidikan Bahasa Zhong Hua (Jia Zong) menggesa Kementerian Pendidikan mengambil tindakan tegas berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dana di beberapa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negara ini.
Pengerusinya, Ronnie Wong, mendakwa berlaku penyelewengan dana akaun di lebih 20 SJKC yang sudah berlarutan sejak beberapa tahun.
“Difahamkan, berlaku kehilangan dana di beberapa SJKC membabitkan jumlah sekitar RM500,000 hingga RM1 juta yang sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun PIBG sekolah, tetapi dana ini tiada.
“Sudah beberapa kali aduan dibuat kepada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Pendidikan berhubung perkara ini, yang mana kami sifatkan penyelewengan dana yang berlaku di SJKC ini bagaikan mini ‘1MDB’.
“Namun, tiada tindakan lanjut diambil, malah usaha kami untuk bertemu Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, juga tidak berjaya setakat ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, Penasihat Jia Zong, Edward Neoh Chuan Tat, mendakwa masih ada lagi SJKC yang mengutip yuran RM50 sebulan bagi mengadakan kelas komputer ketika waktu persekolahan.
Beliau berkata, tindakan itu tidak sepatutnya berlaku kerana sebelum ini arahan sudah dikeluarkan Kementerian Pendidikan pada Jun tahun lalu supaya membatalkan pelaksanaan kelas komputer dalam jadual waktu persekolahan.
“Kami mahu pihak kementerian turut menyiasat perkara ini kerana masih ada SJKC yang tidak mengikut arahan dikeluarkan kementerian,” katanya. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|