SHAH ALAM – Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membohongi rakyat apabila mendakwa kerajaan PH berjanji untuk memansuhkan hutang PTPTN.
Beliau berkata, budaya ‘cash is king’ semasa pemerintahan Najib juga telah merosakkan orang Melayu dan kini sedang diperbaiki oleh pemerintahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Sejak penubuhan PTPTN, katanya, seramai 1,003,124 peminjam adalah anak-anak Melayu dan daripada jumlah ini, hanya 288,835 sahaja yang membayar balik dengan konsisten, iaitu 28.8 peratus.
“Seramai 425,292 atau 42 peratus pula tidak membayar mengikut jadual, manakala 277,994 atau 28 peratus tidak membayar langsung hutang mereka. Maksudnya, 70 peratus peminjam Melayu tidak berdisiplin dalam melunaskan kewajipan membayar hutang mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Berdasarkan fakta, katanya, memang tepat kata-kata Tun Mahathir bahawa ramai anak Melayu yang dibentuk pada zaman Najib mengambil sikap ‘Jika kita hutang, berat bagi kita membayar balik’.
“Ini satu lagi legasi buruk tinggalan Najib kepada negara, iaitu sikap orang Melayu yang tidak membayar hutang. Legasi inilah yang terpaksa diselesaikan oleh kerajaan Tun Mahathir..
“Memang fakta ini memalukan kita. Tetapi seperti yang disebut oleh Tun Mahathir, kita perlu terima hakikat, supaya kita boleh mengorak langkah memperbaiki keadaan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata, akibat sikap sambil lewa terhadap hutang yang diajar oleh Najib, maka hutang PTPTN kita melebihi RM36 billion, malahan mencecah RM40 billion.
“Sebab itu hutang negara kita amat banyak, dan hutang PTPTN adalah salah satu komponen besar hutang-hutang itu. Mungkin Najib terlupa ajaran agama bahawa hutang boleh menyekat amalan kita di Padang Mahsyar nanti. Najib perlu ulangkaji hal ini,” katanya.
|