Sebuah rumah warisan Negeri Terengganu berusia 118 tahun yang dirobohkan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu didakwa dibina atas tanah persendirian bukan di atas tanah kerajaan negeri.
Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, sepatutnya kerajaan Negeri Terengganu mengunakan pendekatan ‘rahmatan lil Alamin’ untuk rakyat negeri itu dalam menangani isu rumah warisan keluarga milik Wan Mokhtar Ahmad yang telah dirobohkan oleh pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu pada 21 November lalu.
Semalam adik beradik serta ahli keluarga terdekat Wan Mokhtar dan empat peguamnya telah hadir di Parlimen untuk bertemu beliau dan menyerahkan dokumen berkaitan hak milik ke atas tanah yang diduduki keluarga itu sejak 1940-an lagi.
Diantara dokumen yang diserahkan kepada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu seperti:
a) surat jual beli rumah bertarikh 11 November 1971.
b) surat jual beli rumah bertarikh 6 Jun 1977
c) Sheet rasmi Lot 2795, (lot rumah tersebut), Mukim Kuala Terengganu oleh Pengarah Ukur Terengganu – Jabatan Persekutuan- Malaysia
d) resit Cukai Taksiran -rumah tersebut bertarikh 26 November 2017 dari Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.
e) Pelan Rumah tersebut oleh arkitek -Ahmad Rahim Arkitek- Bertarikh November 1941.
Menurut Raja Kamarul Bahrin lagi, dengan dokumen yang diterimanya itu dengan sendirinya membuktikan tanah tersebut adalah tanah milik perseorangan dan bukan tanah kerajaan Terengganu, seperti yang didakwa sebelum ini.
“Ini bersandarkan kepada cukai taksiran terakhir yang di terima oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu bertarikh 26 November 2017 .
“Pihak keluarga sedang menimbang membuat laporan kepada SPRM dan juga tindakan Mahkamah.
“Kami menggesa pihak Kerajaan Negeri Terengganu menggunakan pendekatan Rahmatan Lilalamin (Rahmat untuk Semua) untuk orang Islam dan juga pada bukan Islam.
“Islam menekankan keadilan melalui kasih sayang lebih terdahulu dari hukuman untuk menunjukkan keindahan Agama Islam kita,” ujarnya.
Berita penuh https://malaysiadateline.com/kerajaan-terengganu-roboh-rumah-warisan-118-tahun-dibina-atas-tanah-persendirian/