|
Edited by safriehalim at 17-3-2019 09:47 PM
Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerima laporan bahawa seorang warganegara Malaysia terkorban manakala enam yang lain belum dapat dikesan dalam insiden gempa bumi berskala 5.8 Richter yang melanda Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia petang tadi.
Bernama melaporkan, individu yang terkorban adalah Tai Siew Kim, 56 tahun.
Mendiang dan keenam-enam orang warganegara Malaysia dilaporkan berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru, Lombok Utara semasa gempa bumi melanda.
Gegaran akibat gempa bumi tersebut turut dirasai di kawasan Lombok Utara, Lombok Timur, Lombok Barat, Lombok Tengah, Mataram di Nusa Tenggara Barat dan sebahagian kawasan selatan Pulau Bali.
"Usaha mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan. Sehingga kini, pihak berkuasa tempatan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai insiden ini.
"Kementerian melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap mangsa dan keluarga mereka ekoran daripada insiden gempa bumi ini dan menyarankan supaya semua warganegara Malaysia yang terjejas untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta," kata kenyataan media Kementerian Luar Negeri Malaysia.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Bernama melaporkan sebanyak 22 pelancong rakyat Malaysia dilaporkan terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di kawasan Air Terjun Tiu Kelep.
Kejadian tanah runtuh di kawasan air terjun itu terjadi selepas berlaku gempa bumi bersaiz melebihi 5 skala Richter yang menggegarkan Pulau Lombok, Indonesia, petang tadi.
Ketua Protokol dan Sekretariat Pemerintah Lombok Utara, Mujaddid Muhas dalam satu kenyataan berkata terdapat 40 pengunjung sedang beriadah di kawasan berkenaan ketika kejadian.
"Setakat ini dua orang disahkan meninggal dunia, proses menyelamat dan evakuasi masih dilakukan," katanya.
Gempa pertama bermagnitud 5.8 Skala Richter berlaku pukul 2.07 petang waktu Indonesia Barat, berpusat di 24km timur laut Timur Lombok - Nusa Tenggara Barat.
Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia, ia disusuli dengan satu lagi gempa bermagnitud 5.2 Skala Richter, berpusat di 7km barat laut Lombok Timur- Nusa Tenggara Barat, pukul 2.09 petang.
Gegaran gempa itu dirasakan di Lombok Utara, Lombok Tengah, Lombok Barat dan sehingga ke Denpasar, Pulau Bali.
Sementara itu seorang ejen pelancong di Mataram, Lombok yang dikenali sebagai Pak Arno berkata, pelancong Malaysia itu menginap di sebuah hotel di Mataram.
Beliau berkata pihak berkuasa sedang melakukan evakuasi terhadap semua mangsa yang terbabit dalam kejadian itu.
Sementara itu, jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata pihak kedutaan sedang berkoordinasi dengan pihak berkuasa tempatan berhubung kejadian itu.
"Beberapa orang (pelancong Malaysia) dilaporkan masih hilang," katanya.
Kredit: Malaysiakini
|
Rate
-
2
View Rating Log
-
|