Kemerdekaan yang dikecapi hari ini adalah hasil rundingan damai oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman yang diiringi beberapa lagi pegawai daripada Tanah Melayu dengan wakil kerajaan British, Alan Lennox-Boyd melalui Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1956.
Sir Geofroy Tory dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi pertama di Tanah Melayu dari tahun 1957 sehingga 1963.
Baru-baru ini, Charles Hay, 54, dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi British di Malaysia menggantikan Victoria Treadell. Beliau terus masuk bekerja pada hari Isnin lepas, sehari selepas beliau sampai ke Malaysia.
Fasih berbahasa Melayu
Paling menarik, Charles fasih berbahasa Melayu setelah mengikuti kelas Bahasa Melayu di Sekolah Tun Fatimah, malah beliau paling gemar ketika menetap di Johor Baru bersama keluarga angkat di bawah satu program persediaan pada bulan Januari lepas.
“Saya mengikuti kelas bahasa setiap hari. Ramai yang menatap saya dengan pandangan pelik, terutama gadis-gadis di sekolah itu. Kebanyakannya terkejut apabila saya boleh berkomunikasi dengan mereka dalam bahasa Melayu.” Bangga kerana boleh bertutur dalam bahasa Melayu
Paling mencuit hati, Charles berasa bangga dengan rakaman video yang telah dimuat di laman Twitter rasmi UKinMalaysia, di mana beliau memperkenalkan dirinya sebagai Pesuruhjaya Tinggi di Malaysia.
Menurut Charles lagi, beliau juga telah melakukan persediaan sebelum mula bertugas di sini. Beliau telah melaporkan diri dan menelefon Ratu Elizabeth II kerana itu merupakan prosedur wajib bagi setiap duta dan Pesuruhjaya Tinggi
“Tuanku permaisuri bercakap dengan nada yang mesra dan menceritakan segala kenangan ketika berada di Malaysia, malah menceritakan tentang hubungan baik United Kingdom dengan Malaysia.”
Keluarga turut menggemari Malaysia
Isteri dan dua anak perempuan Charles akan turut serta menetap di Malaysia.
“Mereka juga tidak sabar untuk ke sini, malah mereka sedang belajar memasak Nasi Lemak. Mujur saya boleh makan makanan pedas, itu perkara yang saya belajar ketika menjadi duta di Korea Selatan.”
|