Khairul Azran Hussin
am@hmetro.com.my
TIADA lagi tambang percuma kepada warga asing menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor selepas ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baharu Selangor, Ng Sze Han.
Beliau berkata, perkara itu wajar dilakukan memandangkan kos tahunan yang terpaksa ditanggung kerajaan negeri bagi menyediakan perkhidmatan bas percuma itu.
“Ketika ini kertas cadangan berhubung kadar tambang yang akan dikenakan sedang diteliti, termasuk kaedah ia dilaksanakan.
“Sukar untuk kita tentukan penumpang yang naik Bas Smart Selangor sama ada orang tempatan atau warga asing, sebab kadang-kadang wajah kita hampir sama.
“Jadi mungkin kita tengok kad pengenalan untuk membezakan, tetapi kadang-kadang pelajar sekolah tidak bawa kad pengenalan. Sebab itu, pelaksanaannya memerlukan sedikit masa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Shah Alam, hari ini.
Kerajaan Selangor mula memperkenalkan inisiatif bas percuma di bawah penjenamaan Bas SelangorKu pada 2015.
Bagaimanapun, penjenamaan Bas Smart Selangor diperkenalkan bagi menambah baik pelaksanaan dasar sedia ada di bawah agenda Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang diperkenalkan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Sehingga Disember 2018 seramai 3.487 juta orang sudah menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor di Kajang.
Peruntukan Kerajaan Selangor bagi menyediakan kemudahan Bas Smart Selangor adalah RM30 juta setahun.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 3:27 PM