|
KUALA LUMPUR: Siapa sangka, Innuendo pernah mempertimbangkan untuk menggugurkan nama itu gara-gara ada pihak berasakan ia kurang sesuai dengan genre dibawakan kumpulan berkenaan.
Kata Pot Amir, biarpun ia sekadar nostalgia lama, sebelum kumpulan vokal harmoni itu dikenali ramai sekitar awal 1990-an, kenangan terbabit masih berbekas di hati.
“Mungkin kalau kami ikut cakap orang, Innuendo takkan wujud atau jika ada pun, barangkali kurang menyerlah.
“Sampai sekarang saya sendiri percaya, selain keunikan vokal harmoni dan genre lagu, panggilan Innuendo itu juga antara pemangkin yang membuatkan kami dikenali.
“Cuma, seiring faktor masa dan ketiadaan Reymee yang menjadikan kami tinggal bertiga, mungkin nama itu perlu diubah sedikit. Bagaimanapun, kami belum lagi mahu menghebahkannya,” katanya.
Selain Pot atau nama sebenarnya Saiful Amir Abd Wahab dan Reymee (Reymee Mohamed Hussein), Innuendo turut dibarisi Sam (Shamsul Azhar Nazeer) serta Taj (Ahmad Tajuddin Mohamed Tahir).
Kuartet yang popular dengan lagu Belaian Jiwa, Selamanya dan Until The End of Time itu memilih haluan berbeza pada awal 2000.
Sepanjang menyinari dunia muzik sejak 1992, dendangan mereka meraih perhatian ramai hingga digelar Boyz II Men Malaysia.
POT Amir (kiri) muncul sebagai artis undangan pada persembahan sempena 20 tahun kumpulan Ruffedge di KL Live, Kuala Lumpur, Ogos tahun lalu. - Foto Aizuddin Saad
Sementara itu, Pot menjelaskan, mereka kini dalam perancangan untuk merealisasikan sebuah konsert ‘reunion’.
Begitupun, Reymee tidak dapat menyertai projek terbabit berikutan terikat dengan perniagaannya yang beroperasi di Tawau, Sabah.
Walaupun bakal muncul bertiga, Pot bersama Sam dan Taj tetap berusaha meneruskan hasrat merealisasikan konsert penyatuan semula anggota kumpulan berkenaan.
Katanya, mereka mengimpikan kemunculan dalam persembahan berskala mega selepas melihat teman seperjuangan seperti Ruffedge mampu berbuat demikian, baru-baru ini.
sumber : berita harian
|
|