PETALING JAYA: Pihak berkuasa di India menahan “pembantu kepercayaan” Zakir Naik berhubung kes pengubahan wang haram terhadap penceramah kontroversi itu, lapor The Times of India.
Peniaga barang kemas Abdul Kadir Najmuddin ditahan oleh Direktorat Penguatkuasa (ED) – yang mengendalikan jenayah ekonomi di India – atas dakwaan “secara aktif menolong dan membantu Zakir Naik menggubah dana daripada sumber meragukan dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE)”.
ED berkata, dana berkenaan bertujuan membiayai kegiatan penerbitan dan penyiaran “video yang menyebarkan kebencian kaum dan radikalisasi komuniti tertentu”.
“Agensi ini akan memfailkan kertas tuduhan baru dalam kes ni berdasarkan bukti baru, kata mereka,” menurut laporan tersebut.
Kadir didakwa secara langsung menghantar dana sebanyak Rs 50 crore kepada Zakir, yang mengubah dan menyalurkannya secara haram”.
Menurut The Times of India, Kadir juga merupakan pengarah syarikat Global Broadcasting Corporation FZE LLC yang memiliki saluran Peace TV Zakir Naik.
“Sejumlah Rs 79 croce diterima daripada GBC kepada Harmony Media Pvt Ltd. Tanpa dana ini, ucapan kontroversi Zakir tidak mungkin diterbitkan dan mencapai audiens lebih luas melalui Peace TV,” akbar itu memetik ED, dengan menambah bahawa sumber dana daripada GBC itu “meragukan”.
Zakir, yang rapat dengan pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dan diberikan status pemastautin tetap di Malaysia, didakwa membuat ucapan provokasi.
Pihak berkuasa Bangladesh mendakwa ucapan beliau merupakan sebab di sebalik satu serangan yang mengorbankan 22 nyawa di Dhaka pada 2016.
Agensi Penyiasatan Kebangsaan India juga menyiasat Yayasan Penyelidikan Islam milik Zakir atas dakwaan pengubahan wang.
Penceramah berusia 53 tahun itu menafikan semua tuduhan dengan berkata, beliau merupakan mangsa media India yang didakwanya mensensasikan isu melibatkan dirinya dalam usaha mereka menarik pembaca.
Beliau juga mencabar usaha untuk menghantarnya pulang ke India.