CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5562|Reply: 1

Seni Sulaman Keringkam Warisan Masyarakat Melayu Sarawak

[Copy link]
Post time 6-4-2019 01:06 PM | Show all posts |Read mode



APABILA menyebut tekat benang emas, ramai terbayangkan kemegahan dan keindahan sulaman corak bunga yang menghiasi sarung bantal dan cadar tilam bilik pengantin di Perak. Tekat benang emas di atas kain baldu merah saga, biru nila atau hijau zamrud bukan sekadar penghias tetapi turut membawa makna lebih besar sebagai lambang kemegahan selayaknya buat pasangan raja sehari selain memartabatkan warisan nenek moyang yang tiada tolok bandingnya.


Masyarakat Melayu Sarawak pula berbangga dengan seni sulaman keringkam pada selendang dan selayah yang menjadi antara warisan penting dalam busana tradisi untuk terus dipelihara supaya keunikannya dapat dikekalkan.



Besarnya peranan keringkam bukan sekadar pelengkap busana semata-mata malah dilihat sebagai simbolik penting dalam adat istiadat Melayu Sarawak. Paling ketara ialah dalam perkahwinan apabila satu amalan dipanggil ‘tikar ngambik pengantin’ merujuk kepada adat menghantar tikar mengkuang.


Ia bukanlah tikar mengkuang biasa sebaliknya tikar itu yang dibalut dengan tudung atau selendang keringkam disulam benang emas untuk dihantar ke rumah pengantin lelaki oleh keluarga pengantin perempuan menandakan sudah bersedia menerima kedatangan rombongan.


Namun juga yang melihat pemakaian selendang keringkam menandakan ketinggian status seseorang wanita atau gadis. Maklumlah satu ketika dulu selendang keringkam hanya mampu dimiliki golongan bangsawan Melayu Sarawak kerana harganya terlalu mahal.



Seiring peredaran waktu selendang keringkam turut dimiliki golongan biasa. Ia dilihat sebagai busana wajib ada dalam setiap keluarga Melayu Sarawak sehinggakan ada yang menjadikan selendang ini sebagai harta pusaka untuk diwariskan daripada satu generasi ke generasi seterusnya.


Cabaran bagi setiap ‘khazanah’ yang perlu dipertahankan pastinya berkait dengan penenun atau penyulam keringkam itu sendiri yang diancam kepupusan apabila golongan muda hari ini tidak sudi mewarisi kemahiran generasi terdahulu.


Itu realiti yang dikongsi aktivis budaya Melayu Sarawak dan Pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak, Suhana Sarkawi ketika hadir sebagai penceramah ‘The Malays Golden Veils’ Suhana Sarkawi di Muzium Tekstile.


Kata beliau, kerja penghasilan keringkam secara kecil-kecilan yang renyah, memerlukan ketekunan dan fokus tinggi kerana ia rumit menyebabkan kerjaya sebagai penyulam serta pewaris budaya itu kurang diminati golongan muda.


“Dalam anggaran saya, jumlah pengusaha keringkam di Sarawak ada sekitar 20 saja yang masih terus menghasilkan busana tradisi berkenaan. Namun mereka bergiat secara kecil-kecilan kerana permintaan terhadap selayah atau selendang sangat terhad.


“Pembikinan selendang ini rumit dan bahan yang mahal menjadikan ia hanya diminati sebilangan individu. Jumlah golongan muda yang mahu mempelajari seni pembuatan keringkam daripada ibu bapa mereka boleh dihitung,” katanya.


Menyentuh kepada nilai pasaran selendang keringkam pula, disebabkan pembuatannya rumit selain benang khas keringkam yang semakin mahal membuatkan harganya melonjak tinggi.


“Dulu, wanita Sarawak dan Brunei memakai tudung keringkam atau selendang tradisional semasa acara khas seperti majlis perkahwinan dan perayaan. Kini, penggunaannya dipakai dalam majlis tertentu dan harganya bermula daripada ratusan sehingga mencecah RM30,000 mengikut sarat sulam yang diminta pelanggan.



“Harga ini sebenarnya dipengaruhi harga benang yang naik mendadak. Ini kerana pengimport benang itu juga sudah berkurang menyebabkan bekalan material itu sangat terhad. Jadi sudah tentu harganya semakin mahal.


“Sudahlah mahal, ia juga sukar dicari dan perlu ditempah dari luar negara bagi mendapatkan kualiti benang yang bagus dan tahan lama. Benang emas atau perak lazimnya diimport dari India dan Singapura. Pembuat keringkam dari Sarawak perlu dapatkan dari luar seperti Indonesia atau Singapura,” katanya.


Kagum melihat kehalusan seni sulaman pada selendang tradisional yang melambangkan status pemakainya. Motif corak sulaman juga pelbagai tetapi ia biasanya mengambil tema sekeliling seperti bunga dan dari alam semula jadi.


“Sebenarnya sulaman keringkam ada pelbagai motif dan kalau di Sarawak biasanya dipanggil gunung beranak atau kira lubang. Ada juga bermotif bunga dan sebagainya mempunyai makna tertentu yang biasanya mengenai perempuan.


“Fabrik yang digunakan pula biasanya adalah kapas berwarna terang supaya pemakai tampak menyerlah, sesuai dengan majlis keramaian dan perayaan. Warna terang seperti merah, kuning, ungu, merah jambu dan banyak lagi dilihat menyerlahkan lagi pesona benang emas atau perak keringkam,” katanya.


Cerita lain dikongsikan Suraya pastinya kecintaan terhadap keringkam membawa dia berkelana secara solo ke Brunei, Singapura dan Indonesia bagi menjejak fabrik tradisi itu.


“Disebabkan selendang keringkam, saya melakukan pengembaraan solo antaranya ke Kepulauan Riau dan negara rumpun Melayu seperti Brunei serta Singapura demi mengenali kehalusan seni keringkam termasuk identiti dan keunikan mengikut daerah penghasilannya.



“Pengembaraan menjejak budaya warisan busana Melayu Brunei itu sendiri sudah berasakan luar biasa disebabkan saya bukanlah ahli akademik atau pakar daripada latar belakang budaya Melayu atau sejarah sebaliknya saya mengajar Kesusasteraan Inggeris.


“Semua ini bermula atas perasaan tercabar dengan gurauan seorang teman yang menyedarkan saya selain menguasai budaya asing, apa salahnya memartabatkan atau mencari warisan sendiri iaitu seni sulaman keringkam,” katanya.


Sementara itu Pengarah Muzium Tekstil Negara, Hadijah Mohd Yunus menyifatkan busana tradisi adalah sangat berharga dan perlu terus dipertahankan.


Oleh itu, pihaknya mengambil inisiatif mengangkat busana selayah dan selendang keringkam yang menjadi kebanggaan masyarakat Melayu Sarawak.


“Dalam program ini kami menyatukan semua pihak termasuk aktivis seperti Suhana Sarkawi yang berkongsi pengalaman dan pengetahuannya dalam memartabatkan seni sulaman keringkam. Kami juga ada wakil industri iaitu pereka dan penenun supaya mereka melihat aspek mana boleh dilakukan untuk mengetengahkan warisan ini agar diterima dalam aliran fesyen perdana.


“Muzium ini menjadi rujukan pihak luar tetapi kami juga mahu masyarakat iaitu orang tempatan sendiri mengenali serta mengetahui mengenai khazanah warisan berkenaan. Bayangkan harganya yang boleh mencecah ribuan menunjukkan kita mesti mewarisi ilmu dan kemahiran menghasilkan busana tradisi ini supaya ia mendapat tempat dalam hati generasi akan datang,” katanya.


INFO


• Selayah kebiasaannya 55 sentimeter (sm) lebar dan 95sm panjang dan digunakan untuk menutup kepala sehingga ke bahu.


• Selendang pula 77sm lebar dan 158sm panjang dan biasanya menutup bahagian kepala sehingga ke pinggang.


• Reka bentuk dan sulaman keringkam Sarawak biasanya mempunyai perincian gunung beranak atau kira lubang.


• Benang keringkam daripada logam tipis melayang dijadikan bahan untuk menyulam dengan peralatan jarum pipih dan kain sederhana lembut.


• Dengan teknik tikam tembus, ke atas permukaan kain membentuk pelbagai motif diingini.


• Harga keringkam bergantung kepada sarat motif dan boleh mencecah ribuan.


Rate

2

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 9-8-2019 12:25 PM | Show all posts
Cantiknya~
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 02:15 PM GMT+8 , Processed in 0.053469 second(s), 31 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list