PELAKON terkenal Johan As’ari, 32, merancang untuk menamatkan zaman bujang dengan kekasihnya yang juga penternak lembu pada tahun depan.
Menurut pelakon yang mencipta nama menerusi drama bersiri Juvana itu, hubungan dengan kekasihnya yang dikenali sejak tahun lalu berjalan lancar ketika ini.
“Insya-Allah, saya akan berkahwin tahun depan.
“Tahun 2020 luar biasa buat saya. Doakan saya,” katanya kepada Harian Metro.
Johan ditemui pada majlis tayangan filem terbaru lakonannya, Banglo No 99 yang berlangsung di MBO The Starling, Damansara, malam tadi.
Mengulas mengenai hubungannya dengan kekasih, kata Johan, si dia kini berada di London.
“Hubungan kami berjalan lancar walaupun jarak jauh.
“Si dia juga baru membalas mesej saya dan memuji pencapaian saya dalam bidang lakonan,” katanya.
Ditanya persediaan pula, Johan mengakui sudag bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan.
“Saya sudah lama bersedia tetapi jodoh yang belum sampai lagi sebelum ini.
“Saya juga percaya kalau sudah jodoh takkan ke mana,” katanya.