4 pemain badminton dunia cedera
https://www.hmetro.com.my/utama/2020/01/534613/4-pemain-badminton-dunia-cedera
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 8:42 AM
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
KEADAAN van yang terbabit kemalangan. FOTO Ihsan Bomba.
EMPAT pemain badminton dunia cedera, manakala pemandu van maut, apabila kenderaan itu melanggar bahagian belakang sebuah lori di Kilometer 13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Serdang, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian, 5.15 pagi hari ini.
“Seramai 10 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, didapati pemandu van terbabit yang juga lelaki tempatan dikenali sebagai B Nageswarau tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
“Sementara, empat penumpang lain yang juga pemain badminton dunia iaitu William Thomas dari England; Hirayama Yu (Jepun); Morimoto Arkifumi (Jepun) dan Momota Kento (Jepun) pula cedera ringan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Norazam berkata, empat mangsa yang cedera ringan dibawa ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan.
“Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan oleh anggota bertugas beberapa minit kemudian sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Difahamkan ketika kejadian van berkenaan dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya. |