FILEM aksi motosikal, Remp-it 2 bakal menyaksikan kemunculan pertama anak sulung pasangan Datuk Farid Kamil dan Datin Diana Danielle, Muhammad, 7, sebagai pelakon filem.
Farid yang bertindak sebagai penerbit, pengarah dan pelakon filem itu berkata, dia menghantar Muhammad ke kelas lakonan kelolaan pelakon, pengarah teater dan pensyarah, Dr Norzizi Zulkifli.
Farid berkata, Muhammad akan tampil beberapa babak dalam filem itu tetapi enggan berkongsi watak apa yang dibawanya.
“Tunggu masa tayangan filem ini nanti. Pada awalnya, saya agak skeptikal kerana takut ada kesukaran untuknya berlakon. Jadi, saya ambil inisiatif dengan menghantarnya ke kelas lakonan kelolaan Norzizi selama sebulan.
Alhamdulillah, dia datang ke set penggambaran dengan persediaan yang lengkap," katanya.
Ditanya mengenai lakonan Muhammad, Farid berkata, proses penggambaran berjalan dengan sangat lancar.
"Kemunculannya dalam skrin umpama magis. Walaupun anak sendiri, saya menganggap dia sebagai pendatang baru. Alhamdulillah, tak banyak 'take' sepanjang proses penggambaran.
“Cabarannya adalah apabila ada penggambaran yang berlangsung lewat malam kerana selepas jam 12 malam, dia mula mengantuk dan sebagainya," katanya.
Farid berkata, keputusan untuk menampilkan Muhammad dalam filem pertama terbitan syarikatnya iaitu FKX Film itu adalah keputusan bersama isterinya.
“Apabila skrip disiapkan dan ada memerlukan watak kanak-kanak, saya berbincang dengan Diana mengenai Muhammad. Dia pun bersemangat dan bersetuju untuk kami perkenalkan Muhammad sebagai pelakon.
"Saya dapat melihat minat dia terhadap lakonan terutamanya ketika saya menjalani latihan bermotosikal untuk menjayakan watak saya dalam filem ini," katanya.
Selain Farid dan Muhammad, Remp-it 2 turut membariskan pelakon hebat antaranya Niezam Zaidi, Julia Hana, Cat Farish dan ramai lagi.
Remp-it 2 sepatutnya ditayangkan pada 2 Februari , namun terpaksa ditunda ke Ogos atas beberapa perkara tak dapat dielakkan.