Itu ayat pertama yang keluar daripada mulut tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid sebagai tanda penghargaan kepada pemilik pasukan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas membantu mencapai impiannya memiliki jentera mewah pada usia muda.
Menurut pemain berusia 23 tahun itu, jentera Porsche yang dikongsi dalam laman Instagram semalam menjadi sumber inspirasinya untuk terus memberikan persembahan yang terbaik dan konsisten bagi membantu skuad Harimau Selatan merangkul lebih banyak kejuaraan.
"Sememangnya kereta berkenaan milik saya. Alhamdulillah impian memiliki kenderaan terbabit tercapai dalam usia muda.
"Terima kasih diucapkan kepada pemilik pasukan JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang banyak membantu memberi dorongan dan semangat untuk terus berjaya.
"Kejayaan yang dikecapi selama ini hasil sokongan semua pihak termasuk keluarga yang sentiasa bersama saya," katanya.
Terdahulu, hantaran terkini Safawi di laman Instagram menarik minat penyokong bola sepak tempatan selepas dia berkesempatan berkongsi gambar kereta berwarna merah terbabit sambil mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Malah, hantaran terbabit turut mendapat perhatian Tunku Ismail yang meninggalkan komen beliau.
"Hebat Anak Terengganu. Sentiasa bersyukur dan kerja keras," kata Tunku Ismail.
Meskipun enggan mendedahkan nilai kereta terbabit, namun 'harga permainan' baharu Safawi itu dikatakan bernilai sekitar RM515,000 sehingga RM612,000.
Jentera terbabit adalah Porsche Cayman daripada dua generasi terdahulu dan berdasarkan semakan di Internet, harga jentera terbabit adalah sekitar RM515,000 sehingga RM612,000 ketika mula memasuki pasaran Malaysia pada 2009.
Bagaimanapun, disebabkan sudah dianggap 'lama', nilai jentera terbabit ketika ini hanyalah sekitar RM103,000 sehingga RM320,000.