KULAI: Tiga warga Rohingya termasuk seorang wanita yang dipercayai saki baki 'Geng Tailong' ditahan terbabit dalam kegiatan pecah rumah sekitar daerah ini sejak dua bulan lalu.
Ketua Polis daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow, berkata suspek yang berusia antara 27 hingga 30 tahun itu ditahan hasil enam serbuan sekitar Kulai dan Johor Bahru pada Rabu lalu.
Katanya, dalam serbuan itu pelbagai barangan dirampas termasuk barang kemas, komputer riba, jam tangan dan bag tangan selain sebuah kereta Perodua Myvi serta motosikal jenis Yamaha yang dianggarkan berjumlah RM80,000.
"Hasil siasatan awal mendapati suspek terbabit dalam 15 kes pecah rumah di sekitar kawasan Bandar Putra, di sini.
"Modus operandi mereka menggunakan kereta Myvi hitam, panjat pagar dan mengumpil pintu untuk mencuri barang. Geng ini turut mensasarkan rumah yang tidak berpenghuni bagi menjalankan kegiatan mereka.
"Kita percaya mereka ini ada kaitan dan saki baki Geng Tailong yang dianggotai warga Rohingya yang ditahan pada bulan lalu.
"Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan penjenayah yang masih bebas iaitu tiga lelaki warga Rohingya yang dikenali dengan nama Rahman, Hassan dan Baya, lingkungan usia 20-an.
"Kita percaya geng terbabit sudah lama menetap di negara ini kerana mereka fasih berbahasa kebangsaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, di sini, hari ini.
Jelas Beng Yeow, permohonan reman telah dibuat terhadap tiga suspek dan kesemua suspek direman tujuh hari bermula 28 Mei hingga 3 Jun depan.
"Kita meminta orang ramai yang rumah mereka ada terjadi unsur pecah rumah sila ke Balai Polis untuk membuat laporan.
"Saya percaya ada penghuni yang menjadi mangsa pecah rumah tetapi belum pulang ke rumah masing-masing,"katanya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat bagi kesalahan kedua jika sabit kesalahan.