KUALA LUMPUR: Seekor anjing pengesan bernama Tho, berpangkat Sarjan yang berkhidmat dalam Seksyen K9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Pahang, mati akibat sakit tua malam tadi.
"Setelah menanggung kesakitan akibat sakit tua, akhirnya anjing pengesan K9 bernama Tho, menghembus nafas terakhir kira-kira jam 7.30 malam tadi.
"Tho berumur 12 tahun 8 bulan, dilahirkan pada 30 Januari 2008, berkhidmat dengan Seksyen K9 JSJ Pahang sejak 1 Jun 2018, selepas dipindahkan dari Seksyen K9 JSJ Polis Johor," kongsi jabatan itu menerusi Facebook, hari ini.
JSJ Polis Pahang dalam perkongsiannya, berkata Tho adalah di antara aset hidup dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memiliki pangkat sepadan dengan anggota mentor yang juga tuannya.
Tho adalah anjing pengesan di bawah seliaan anggota K9, Sarjan Patrick ak Sandai.
"Tho banyak menyumbang bakti dalam siasatan melalui pengesanan dan merupakan anjing pengesan bagi membantu kes narkotik dalam elemen D6 JSJ," katanya.
Perkongsian itu turut menyatakan yang satu tahun umur anjing, bersamaan tujuh tahun usia manusia.
Perkongsian mengenai kematian anjing pengesan itu, mengundang rasa simpati netizen yang menganggap haiwan terbabit adalah perwira yang menabur bakti demi negara dan pertiwi.