CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2969|Reply: 0

Waspada Pelampau Agama - Harian Metro

[Copy link]
Post time 12-1-2021 09:16 AM | Show all posts |Read mode
Prof Rohan Gunaratna. FOTO Agensi


Dr Mohd Mizan Aslam

SETIAP pergerakan terrorisme adalah berasaskan tiga prinsip utama iaitu motif politik, menimbulkan ketakutan dan kematian atau mangsa di kalangan orang awam yang lemah.

Inilah tiga elemen utama yang terdapat dalam gerakan terrorisme di seluruh dunia tanpa mengenal erti agama, bangsa mahupun negara. Pakar kajian antikeganasan serantau, Prof Rohan Gunaratna juga menjelaskan terrorisme tidak berasaskan kepada agama dan ia boleh berlaku kepada mana-mana penganut agama seperti Laskar Kristus dalam agama Kristian, pengikut Ashin Wirathu dalam agama Buddha, Khalsa Babbar bagi penganut Sikh, Rashtriya Swayamsevakh Sangh (RSS) di kalangan penganut Hindu dan ISIS dalam kalangan penganut agama Islam.

Kenyataan berkaitan tiga elemen utama ini juga disokong pakar kajian terrorisme seperti Sidney Jones, David Cohen dan Richard Chasdi. Jones Pengarah Policy Analysis of Conflict yang berpusat di Jakarta menjelaskan kegiatan terrorisme pastinya berasaskan kepada fahaman politik yang dimiliki mereka seperti untuk menghapuskan sistem kenegaraan, mewujudkan negara dan undang-undang yang berasaskan agama tertentu. David Cohen, mantan Timbalan Pengarah CIA juga menjelaskan terrorisme bertujuan menimbulkan ketakutan dan rasa gerun di kalangan masyarakat dengan aktiviti yang bersifat ganas dan kejam.

Richard Chasdi profesor di George Washington University pula menyatakan sasaran utama pengganas adalah ke atas masyarakat awam yang tidak bersenjata, lemah dan tidak mampu mempertahankan diri daripada serangan pengganas.

Maka apabila dilihat kepada tiga faktor utama ini, jelas sekali gerakan terrorisme di Malaysia juga mempunyai ciri-ciri tersebut. Bermula daripada Parti Komunis Malaya sekitar 1940-an, seterusnya Tentera Sabilullah pada 1967 hinggalah kepada gerakan Darul Islam Malaysia (DIM) pada 2015, semuanya mempunyai tiga elemen itu.

Sehingga kini, terdapat 24 gerakan terroris di Malaysia yang direkodkan hasil daripada pemilikan tiga elemen tersebut di dalam pergerakan mereka, ini termasuk gerakan Ibrahim Libya, Al-Arqam, Al-Maunah, Kumpulan Militan Malaysia (KMM), Liberation of Tamil Tiger Eelam (LTTE), Jemaah Islamiyyah (JI), Babbar Khalsa International (BKI), Jama'atul Mujahidin Bangladesh, Arakanese Rohingsa Solidarity Army (ARSA) dan ISIS/Daesh Malaysia. Gerakan terroris ini dipercayai akan terus berkembang dan mempengaruhi masyarakat Malaysia melalui agenda politik yang dibawa mereka atas nama agama.

Beberapa kumpulan terroris atas kapisiti agama selain Islam juga dilihat sedang cuba mengembangkan sayapnya di Malaysia. Begitu juga kumpulan terroris yang berjuang atas nama kaum dan etnik serta sentimen tertentu juga dilihat menjadi tren terkini di Malaysia terutama sejak kejatuhan kerajaan Barisan Nasional pada pilihan raya 2018 yang lalu. Semua gerakan ini sentiasa berada dalam pemantauan pasukan pihak keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui unit E2, Ancaman Sosial & E8, Anti Keganasan.

Gerakan terroris ini dipercayai akan terus berkembang di Malaysia melalui beberapa strategi tersembunyi. Pertama adalah dengan menggunakan teknologi terkini. Ledakan teknologi 4.0 dan 5G menjadikan masyarakat dunia 'mesra' kepada platform digital. Pandemik Covid-19 yang melanda dunia juga secara tidak langsung menghambat manusia untuk menggunakan perkhidmatan atas talian dan terpaksa bergantung kepada internet. Bukan sahaja sektor perniagaan, malah pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan juga terpaksa berhijrah daripada konvensional kepada sistem online.

Dalam masa sama, masyarakat terpaksa dan dipaksa untuk memasukkan data peribadi jika mahu menggunakan perkhidmatan yang disediakan. Kebergantungan kepada teknologi sebegini menyebabkan kemungkinan besar data tersebut dimanipulasikan ekstremis untuk kepentingan perjuangan politik peribadi mereka. Masyarakat yang menghabiskan banyak masa dihadapan komputer juga menjadikan mereka subjek untuk diindoktrinasi oleh gerakan terroris. Penggunaan media sosial seperti Facebook, Instagram, Telegram, Chatbox dan lain menjadikan kelompok ini sebagai sasaran ampuh.

Data juga menunjukkan sembilan daripada 10 rakyat Malaysia yang terlibat dalam perjuangan ISIS direkrut melalui kaedah online. Profiling secara bijak dilakukan dengan bantuan teknik pemasaran dan AI menjadikan ramai terjerat dalam strategi licik kumpulan terroris ini. Memainkan isu-isu tertentu seperti konflik agama dan etnik serta dasar luar Amerika dan konflik Israel-Palestin adalah modus operandi lama yang diterjemah dalam bentuk digital.

Maka akhirnya, ramailah yang terpengaruh dan menjadi ekstrem hingga sanggup mengorbankan harta benda, wang ringgit malah nyawa sendiri atas nama perjuangan palsu kelompok terroris ini.

Keduanya adalah melalui perubahan dan ledakan penggunaan matawang digital. Penghijrahan besar-besaran dunia kewangan konvensional kepada kewangan digital seperti bitcoins dan cryptocurrency juga membuka peluang kepada gerakan terroris di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Laporan oleh CIA dan NCSO Arab Saudi dengan jelas mengaitkan gerakan terroris mula menggunakan matawang digital dalam transaksi berkaitan aktiviti terrorisme mereka.

Di Malaysia, walaupun belum ada rekod menyatakan gerakan terroris menggunakan platform ini untuk mendanai aktiviti mereka, akan tetapi kewujudannya adalah sesuatu yang tidak boleh diperkecilkan. Pasaran dan perhubungan yang lebih luas dalam platform dark-web melibatkan transaksi mencecah jutaan ringgit tanpa dikesan akan menjadikan cabaran besar kepada pihak berkuasa dalam mengekang aktiviti terrorisme.

Dunia sudah mula bergerak ke arah cashless society, begitu juga dengan pergerakan terroris ini, mereka juga sudah maju lebih ke hadapan dalam memaksimumkan impak daripada ledakan teknologi ini. Di Latin Amerika dan Eropah, dilaporkan pembelian senjata api oleh kumpulan terroris dan pindahan dana ke Asia juga dilakukan melalui platform ekonomi digital.

Strategi ketiga kumpulan terroris adalah ideologi dan ini adalah yang paling utama dan diperlukan. Gerakan terrorisme di Malaysia khususnya dan di seluruh dunia amnya amat bergantung kepada indoktrinasi ideologi terrorisme.

Gerakan ini akan melahirkan perasaan bangga dan hebat ke atas pengikut aliran dan gerakan mereka. Kebanyakan yang terpengaruh adalah golongan muda dan remaja yang sedang mencari identiti diri. Kecelaruan identiti membawa kepada sikap introvert yang menyebabkan mereka lebih bersahabat dengan media sosial berbanding manusia.

Maka ketika mereka tercari-cari identiti sebenar, ketika inilah mereka akan senang dipengaruhi dengan ideologi terrroris. Kurang keyakinan dan merasakan diri dipenuhi dosa akan membawa kelompok ini kepada jalan yang lebih menghampirkan diri kepada Tuhan. Malah bagi perjuangan berasaskan etnik atau idealisme tertentu, mereka akan dijanjikan dengan sebuah kejayaan yang hanya boleh dicapai melalui jalan radikal dan keganasan.

Pendekatan secara lembut tidak akan mampu mengubah keadaan dan mencapai apa yang dimaksudkan, maka jalan terbaik adalah dengan kaedah yang lebih ekstrem dan keras. Mereka akan didedahkan dengan video, kata-kata perangsang dan ceramah pembakar semangat oleh tokoh perjuangan mereka. Mewujudkan simbol atau logo dalam perjuangan kelompok ini adalah satu keperluan, maka kita boleh  lihat dengan jelas bagaimana simbol tertentu seperti jari, tangan, bendera ISIS  diwujudkan untuk melahirkan solidariti dalam perjuangan mereka yang berasaskan satu ideologi dan satu identiti.

Kesimpulannya, gerakan terrorisme di Malaysia akan mempelbagaikan strategi demi memastikan kelangsungan perjuangan mereka. Gerakan ini akan memanipulasikan apa sahaja peluang dan ruang yang diperoleh demi memastikan tiga elemen utama dalam gerakan mereka dapat dicapai.

Motif politik yang menjadi objektif akhir mereka akan dilakukan dengan cara menimbulkan keresahan dan ketakutan dalam masyarakat malah menjadikan mangsa di kalangan masyarakat awam hingga mengakibatkan kematian dalam skala yang besar juga adalah satu kejayaan kepada gerakan ini.

Malah, yang merisaukan kita adalah kebanyakan pengikut gerakan ini tidak menyedari bahawa mereka dipergunakan demi mencapai objektif tertentu yang digariskan oleh kepemimpinan gerakan terroris ini. Mereka yang menyertainya akan berada dalam situasi terperangkap yang tinggal pada mereka adalah do or die sebagai mana yang dialami oleh pengikut ISIS, LTTE dan BKI.

Oleh itu amat perlu supaya setiap individu didedahkan dengan hakikat perjuangan atas nama agama atau idelogi tertentu yang sebenarnya selain peranan PDRM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Ia boleh dilakukan melaui kaedah counter narative daripada pelbagai pihak termasuk civil society organisation yang lebih mendasari masyarakat awam.

* Penulis Penasihat Teknikal Pusat Kajian Terrorisme dan Ektremisme, Naif Arab University for Security Sciences, Arab Saudi

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 03:56 AM GMT+8 , Processed in 0.353334 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list