Seorang wanita di Johor menyuarakan rasa tidak puas hati di Twitter kerana mendakwa didenda walaupun kafe tidak sesak.
FMT
PETALING JAYA: Polis Johor menafikan dakwaan seorang pemilik kafe disaman kerana tidak memakai pelitup muka walaupun tidak berada di tempat awam yang sesak.
Wanita dari Segamat, Johor itu menyuarakan rasa tidak puas hati di Twitter, baru-baru ini.
Beliau mempertikaikan saman dikenakan terhadapnya kerana peraturan memakai pelitup muka hanya terpakai untuk tempat sesak.
Susulan itu, Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay yang mengulas perkara itu berkata, ketika kejadian ramai orang keluar masuk kedai itu dan premis berhampiran.
“Ketika itu ada seorang pekerja kafe di situ yang memakai pelitup muka.
“Tindakan (pemilik itu) tidak berbuat demikian mampu menimbulkan kegusaran orang ramai di situ,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, polis memandang serius perkara itu dan tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang tidak mematuhi SOP ditetapkan kerajaan. |