Warga Australia berkayak solo demi pendidikan
Oleh Hamzah Osman - Februari 27, 2021 @ 8:16ambhnews@bh.com.my
Pengurus Besar Four Seasons Resort Langkawi, David Macklin, menunjukkan isyarat bagus selepas tiba di persinggahan pertama dalam misi menamatkan kayak solo mengelilingi Pulau Langkawi sejauh 105 kilometer di Telaga Habour Park, Langkawi, hari ini. - Foto HAMZAH OSMAN
LANGKAWI: Cuaca panas terik tidak menghalang Pengurus Besar Four Seasons Resort Langkawi, David Macklin, memerah kudrat berkayak solo menerusi cabaran 'Dayung Untuk Pendidikan' bermula pagi tadi.
Warga Australia berusia 51 tahun itu mensasarkan mendayung mengelilingi Pulau Langkawi sejauh 105 kilometer menggunakan kayak kayu buatan sendiri dalam tempoh 30 jam.
Beliau memulakan misi kayak solo di pantai berhampiran resort berkenaan di Tanjung Rhu, di sini, pada jam 6.30 pagi tadi dan dijangka menamatkan ekspedisi berkenaan pada jam 1.30 tengah hari esok.
David yang turut mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang perjalanannya dilihat tiba di Telaga Habour Park di sini, sebagai persinggahan pertama pada jam 1.30 tengah hari tadi.
Beliau berkata, tujuan utama program adalah membantu sekolah setempat dalam meningkatkan pembelajaran selepas terkesan akibat pendemik COVID-19.
"Semua sumbangan yang diterima menerusi program ini kelak akan disalurkan kepada pihak sekolah setempat, manakala kos program ini saya tanggung sendiri.
"Saya tidak mendayung pada waktu malam atas faktor keselamatan dan cabaran paling besar adalah cuaca panas yang menyebabkan cepat dahaga," katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata, program itu juga sebagai memenuhi masa lapangnya selepas resort tempatnya berkerja terpaksa ditutup akibat pendemik COVID-19.
|