“Alhamdulillah semoga Allah SWT jaga keluarga ini daripada syaitan dan malaun (penjahat). Amin,” tulis Lufya pada ruangan komen.
Sekitar September tahun lalu, status rumah tangga Syamsul dengan Sarah menjadi tanda tanya selepas timbul dakwaan wanita itu hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah Gombak.
Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin dikatakan hadir dengan ditemani seorang wanita yang didakwa ibu mertuanya.
Bagaimanapun, tujuan kehadiran pelakon yang cukup dikenali dengan drama Dunia Anita ke pejabat agama tidak dapat dipastikan.
Namun, hubungan kemesraan pasangan suami isteri itu kembali terjalin tidak berapa lama kemudian.
Malah Sarah mendakwa keharmonian yang terjalin antara dia dan suami ternyata tidak disenangi segelintir pihak.
Menurut Sarah, ada sahaja pihak yang tergamak mencipta akaun palsu semata-mata ingin mengintip aktiviti harian dia dan suami seolah-olah tidak senang melihat mereka sudah berbaik semula.
Pasangan tersebut berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata. – K! ONLINE