Edited by JohnyEnglish at 30-7-2021 09:55 AM
PUTRAJAYA: Kediaman selesa dan berprestij sememangnya ida­­man setiap orang sehingga ada yang sanggup melaburkan sejumlah wang untuk tujuan itu.
Bagi penduduk Conezion Re­sidences, Putrajaya, sebuah ser­vis apartmen bertaraf kondominium mewah, pastinya mengharapkan segala fasiliti dan tahap pembinaan adalah ber­kualiti tinggi dan harus se­timpal dengan kos setiap unit rumah yang dibeli pada harga hampir RM1 juta.
Bagaimanapun, seperti indah khabar rupa. Walaupun hanya baru mendiami kediaman itu tiga tahun, pelbagai masalah kerosakan berlaku terutama melibatkan fasiliti dan kemudahan awam.
Menurut seorang penduduk kepada Utusan Malaysia yang hanya mahu dikenali Mira, ma­salah utama ialah melibatkan perkhidmatan lif yang gagal berfungsi sepenuhnya sehingga mengundang kesukaran kepada penduduk kondominium berjumlah 32 tingkat itu.
Katanya, daripada lima buah lif dalam satu blok, hanya satu sahaja berfungsi dan keadaan itu semakin sukar lebih-lebih lagi tidak ramai boleh menggunakan lif pada satu-satu masa kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika tempoh pandemik Covid-19 ini.
Lebih mendukacitakan, Mira memberitahu, berlaku kebocoran paip pada tangki di bilik ‘wet riser’ pada Sabtu lalu sehingga berlaku ‘banjir’ besar bermula dari tingkat 14 sehingga air memasuki kediaman penduduk.
Keadaan itu lebih memburukkan lagi kerosakan lif apabila air memasuki ruang fius elektrik, namun kerja-kerja penyelenggaraan terpaksa ditangguhkan kerana kekangan perintah kawalan pergerakan.
“Setiap hari penduduk terpaksa beratur panjang semata-mata untuk menggunakan lif sejak Mac lalu. Ada antara mereka terpaksa menggunakan tangga dan keadaan ini lebih menye­dihkan apabila melibatkan warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan.
“Pernah juga penduduk terpe­rangkap dalam lif gara-gara sistem terhenti automatik kerana mengesan sistem tidak berfungsi dengan baik. Sebenarnya sejak hari pertama pindah ke sini ke­a­daan lif sudah teruk seperti ke­a­daan di pangsapuri yang berusia 15 tahun, sedang­kan kami beli rumah ini lebih setengah juta,” katanya di sini semalam.
Mira berkata, pihak pengurusan kondominium telah membuat laporan polis berhubung satu kes kerosakan lif melibatkan tali pengangkat yang di­anggap kerosakan paling serius sehingga boleh mengancam nyawa pengguna.
Katanya, laporan itu dibuat bagi meminta polis menyiasat kerana disyaki berlaku ciri-ciri khianat, kecuaian pekerja-pekerja asing dalam membuat pembaikan, syarikat tamak de­ngan sengaja mahu menambah kerja-kerja pembaikan akan datang.
“Perkara-perkara sebegini di­syaki mengambil kesempatan aset komuniti untuk kepen­tingan diri sendiri atau angkara khianat yang mungkin mengakibatkan risiko kepada penghuni sehingga boleh menyebabkan ke­matian, kecederaan parah atau terperangkap,” katanya.
Mira berkata, pihak pengurusan tertinggi IOI Properties sebagai pemaju perumahan itu pernah ‘turun padang’ sete­rus­nya memberi jaminan isu kerosakan lif akan diselesaikan pada bulan lalu, bagaimanapun si­tuasi sama tetap berlaku.
Selain itu, katanya, tindakan pihak pemaju yang menempatkan pekerja-pekerja asing di kondominium itu sebagai ‘rumah kongsi’ juga seolah-olah merendahkan taraf kondominium itu.
“Pihak pemaju menyediakan fasiilti daif tidak setaraf harga. Apa prestijnya IOI kalau macam ini kita dapat,” katanya.
Usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan maklum balas da­ripada pihak IOI Properties gagal diperoleh sehingga petang ini. – UTUSAN |